BNM pantau akaun polis - Utusan Malaysia

BNM pantau akaun polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengesan mana-mana akaun milik pegawai dan anggotanya yang mempunyai wang simpanan luar biasa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, bantuan bank pusat itu akan membolehkan PDRM menjalankan siasatan ke atas simpanan tersebut yang mungkin tidak sepadan dengan gaji mereka.

“Daripada maklumat BNM itu, kita akan menjalankan siasatan bagi mengetahui sumber kewangan yang diperoleh dan kemudian disimpan dalam mana-mana akaun,” kata beliau semalam.

Menurut Abdul Hamid, pengisytiharan aset oleh warga polis sudah lebih 20 tahun dilkuatkuasakan bagi memastikan tiada pegawai dan anggotanya hidup mewah di luar kemampuan atau terlibat dengan rasuah.

“Namun kalau nak sembunyikan juga harta benda atau wang yang ada, masih ada macam-macam cara.

“Tetapi kita juga sentiasa sedia menyiasat mana-mana pegawai atau anggota hidup mewah di luar gaji,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Musa Hassan berkata, semua warga polis perlu mendapatkan kelulusan daripada ketua dan jawatankuasa tatatertib jika mahu membeli aset bagi mengelakkan perolehan tersebut diragui.

Menurut bekas Ketua Polis Negara itu, bagi mereka yang baharu menyertai dan berkhidmat dalam pasukan, prosedur tersebut dilaksanakan sebelum seseorang itu diambil bertugas.

“Isu integriti ini sentiasa diterapkan dalam PDRM sejak mereka menjalani latihan. Itu sebab PDRM tidak pernah berkompromi terhadap mana-mana anggota yang terlibat dengan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.

“Mereka yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan disiplin manakala yang terlibat dengan jenayah dan dituduh di mahkamah pula boleh dibuang kerja,” jelasnya.

Selain itu, kata Musa, mana-mana pegawai atau anggota yang bermasalah dikehendaki menjalani latihan semula di pusat-pusat latihan bagi memulihkan akhlak dan perkukuh disiplin mereka.

“Ketua-ketua jabatan juga harus terus memantau pegawai dan anggota mereka yang hidup mewah atau tidak sepadan dengan gaji.

“Ketua juga perlu memperlihatkan contoh yang baik kepada pegawai bawahan bertepatan dengan prinsip kepimpinan melalui teladan,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan seorang inspektor polis disiasat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman kerana memiliki wang simpanan RM1 juta.

Turut disiasat seorang pegawainya berpangkat deputi komisioner. Mereka adalah antara 29 anggota dan pegawai polis yang dikaitkan dengan kes penipuan Macau Scam dan judi dalam talian yang juga ada kaitan dengan Addy Kanna dan Alvin Goh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN