Bekas mak nyah cari peluang berubah - Utusan Malaysia

Bekas mak nyah cari peluang berubah

NUR Fathiyah Doris Abdullah mengajar beberapa bekas mak nyah yang menyertai kelas mengaji dan fardu ain anjuran Pusat Gelandangan Dapur Kausar di Seremban, Negeri Sembilan. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Walaupun sering dipandang serong tidak memadam niat beberapa bekas transgender atau mak nyah untuk berubah dan terus mendalami agama Islam.

Bekas mak nyah yang hanya mahu dikenali sebagai Shasha, 37, berkata, dia sudah beberapa kali menyertai kelas agama namun terpaksa berhenti kerana pelbagai faktor.

“Saya memang berminat memasuki kelas-kelas agama ini namun terhenti kerana pelbagai masalah seperti lokasi yang agak jauh, faktor pengajar dan suasana di kelas berkenaan.

“Kali ini pendekatan bersama Dapur Kausar agak berbeza dan saya lebih selesa belajar tanpa gangguan. Saya juga malu sekiranya kelas berkenaan bercampur dengan individu lain. Walaupun saya jahil namun saya tahu adab dan saya sedar diri saya siapa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Shasha antara tiga mak nyah yang menyertai kelas mengaji dan fardu ain secara percuma anjuran Pusat Gelandangan Dapur Kausar memberitahu, dia cuba mengubah dirinya menjadi seorang wanita sejak berusia 13 tahun atas kerelaan dirinya dan menjadi ‘lembut’ akibat terikut perwatakan empat kakaknya.

“Saya tinggal di estet, ibu memang selalu tidak benarkan saya keluar rumah sejak kecil. Dia tidak mahu saya bercampur dengan rakan-rakan lain, ketika itu saya menjadi mangsa keadaan kerana sering bersama kakak dan terikut perwatakan mereka.

“Ibu tahu saya agak lembut, dia pernah marah saya jadi begini namun saya anggap sudah tertulis jadi seperti ini,” katanya.

Sementara itu, guru agama, Nur Fathiyah Doris Abdullah berkata, kelas mengaji dan fardu ain yang dianjurkan Dapur Kausar adalah platform kepada golongan bekas mak nyah untuk berubah.

“Alhamdullilah, saya lihat mereka bersungguh-sungguh pada hari pertama mengajar mereka.

“Buat permulaan, mereka faham apa yang diajar namun masih tidak boleh menjiwai. Jadi, saya mempunyai perancangan untuk membawa mereka ke luar dan boleh mendalami Islam dengan lebih mudah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN