KUALA LUMPUR: Ibarat pepatah, harapkan pegar, pegar makan padi.
Itu perbuatan seorang pegawai kanan berpangkat Asisten Superintenden (ASP) yang dikesan ‘bersekongkol’ dengan beberapa penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pegawai kanan berusia 39 tahun itu ditahan pada 24 Disember lalu oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat, ASP berkenaan dipercayai `memberi laluan’ mudah kepada penyeludup-penyeludup sejak beberapa tahun lalu.
Kata beliau, tindakan itu membolehkan ASP berkenaan menerima habuan daripada penyeludup-penyeludup di kawasan tersebut.
“Pegawai kanan itu ditahan bagi siasatan lanjut dan tindakan sekeras-kerasnya mengikut kanun keseksaan akan diambil sekiranya siasatan mendapati dia bersalah.
“Bukti salah laku pegawai tersebut dengan penyeludup telah diperoleh dan tindakan selanjutnya akan diambil dalam masa terdekat,” kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, kata Abdul Hamid, siasatan mendapati ada unsur rasuah berhubung kejadian penyeludupan di sempadan negara sehingga menyebabkan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Padang Besar mati ditembak penyeludup.
Selain itu, jelasnya, ada juga dakwaan berlaku penyelewengan dalam kalangan PGA yang bertugas di sempadan.
“Meskipun pertukaran sentiasa dilakukan dalam tempoh tertentu, tetapi saya tahu, tidak semua pasukan yang ditugaskan di situ benar-benar bersih.
“Jadi, saya sudah bagi amaran dari dahulu lagi, agar menghentikannya sebelum mereka ditangkap,” jelasnya.
Pada 24 November, seorang anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya Sarjan Norihan Tari, 39, cedera parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9.
Susulan itu, 52 suspek termasuk warga Thailand ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada 8 Disember lalu.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, dengan bermodalkan RM80, penyeludup mampu membina puluhan jalan tikus dengan memotong pagar duri menggunakan pemotong dawai.
Lebih mengejutkan, sindiket didalangi warga Thailand itu turut menjadi anggota sukarelawan keselamatan serta menyamar sebagai pekebun di kawasan sempadan negara.
Ini antara modus operandi sindiket penyeludupan dadah serta ketum bagi mengesan pergerakan pasukan keselamatan.
Mendedahkan kegiatan itu lagi, sumber mendedahkan antara geng penyeludup aktif di sekitar Wang Kelian ialah Geng Mael, Lini dan Pak Usu.
Wang Kelian menjadi `rancak’ dengan aktiviti penyelupan selepas kerajaan menarik balik Zon Aliran Bebas pada tahun 2015 di kawasan tersebut.
Antara barangan seludup popular ialah ketum, dadah, pendatang asing tanpa izin selain senjata api. – UTUSAN










