Bergelar isteri, ibu tidak menghalang cita-cita - Utusan Malaysia

Bergelar isteri, ibu tidak menghalang cita-cita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehidupan penyanyi ini memasuki fasa berbeza setelah mendirikan rumah tangga bersama pasangannya seorang ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izani. Dan apabila melahirkan cahaya mata sulung, Nik Muhammad Nik Iruwan, fokus dan keutamaan Nabila Razali bertukar 360 darjah.

Tanggung­jawab sebagai isteri dan ibu tidak menghalang pemilik nama Nur Nabila Mohd. Razali untuk meneruskan minat dan keinginan mengejar impian.

Dengan formula pengurusan masa yang lebih efektif, Nabila yang mesra disapa Bella ini mampu mencapai segala cita-cita dan impiannya.

Namun jalan yang dipilih tidak sentiasa sepi daripada cercaan dan kata-kata nista, akan ada mulut-mulut jahat yang akan sentiasa mencari salah.

Dalam Nabila terus mengatur langkah, ada sahaja yang dengki dan iri hati, menuduh dia mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu apabila melihat kesibukannya melunaskan peluang-peluang menyanyi.

Bagi Nabila, tolak tepi pandangan orang. Hal dalaman rumah tangga hanya dia dan suami yang tahu dan lebih arif menilai.

“Setiap ibu bapa telah menyusun atur perancangan masa depan masing-masing. Mungkin ada ibu yang menangguh segala rancangan terhadap kerjaya untuk menjaga anak yang masih kecil.

“Saya pula bertentangan dengan ideologi tersebut. Saya percaya apa yang saya usahakan sekarang semuanya untuk kebaikan anak di masa akan datang.

“Saya bekerja keras di waktu sekarang, mencari rezeki dengan menyanyi, semuanya untuk membantu suami membesarkan anak. Rezeki yang dituai sekarang akan menjadi hasil di kemudian hari.

“Tambahan pula, dalam bidang saya iaitu nyanyian dan hiburan, segalanya berubah dengan pantas. Saya tidak akan selamanya muda. Dunia hiburan pula berubah mengikut trend semasa. Jadi, saya tidak mampu untuk lalai, terus bekerja keras mencapai apa sahaja yang saya inginkan,” katanya.

Penyanyi yang meledak dengan lagu Permata Hati ini merancang perjalanan seninya dengan teliti agar dapat diseimbangkan dengan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

“Saya tidak boleh menjadikan alasan yang tanggungjawab sebagai isteri dan ibu menjadi penghalang terbesar untuk saya meneruskan kerjaya dalam bidang seni.

“Dalam menyanyi, keutamaan tetap kepada suami dan anak. Kalau dulu, selepas bekerja kita ada masa untuk berseronok dan berhibur. Sekarang keutamaan berubah.

“Lepas bekerja saya akan terus pulang ke rumah untuk berada di sisi suami dan anak. Kalau ada masa terluang, saya bawa anak bersiar-siar. Dan tanggungjawab itu diambil suami ketika saya tidak berkelapangan.

“Jadi, janganlah kerana kita berkeluarga, cita-cita dan impian kita abaikan. Setiap kesukaran pasti ada jalan keluar,” kongsinya.

TIDAK BIASA ‘GOYANG KAKI’

Nabila, sejak bersetuju mengahwini Nik Iruwan, tidak pernah mengharapkan suami seorang diri untuk menggalas tanggungjawab membesarkan keluarga.

Dia wanita moden yang berpandangan jauh, sama-sama berganding bahu membesarkan keluarga. Tiada istilah suami membanting tulang sementara isteri tempatnya di rumah atau paling tidak di dapur.

“Sejak dulu saya terbiasa mencari duit sendiri dan biasa berdikari. Saya tidak pernah mengharapkan suami yang mencari nafkah seorang diri. Senang cerita saya tidak biasa ‘goyang kaki’, cukup melakukan kerja-kerja isteri sepenuh masa.

“Saya ada hala tuju dan inspirasi hidup. Alangkah beruntungnya saya mempunyai pasangan yang berpandangan sama. Kami terbuka dengan menguruskan kerjaya masing-masing dan saling menyokong setiap progres yang ditunjukkan.

“Kata mudahnya, saya tidak terbeban mencari wang demi Nik Muhammad dan memang saya rela melakukannya,” ujarnya.

TIADA FORMULA, HANYA KEGIGIHAN DAN PERANCANGAN

Nabila pernah satu masa lalu meniti bibir masyarakat hanya gara-gara kelemahan vokalnya, justeru dia dibanding-bandingkan dengan penyanyi yang lebih menyerlah kekuatan nyanyiannya.

Namun, pada hari ini kita menyaksikan Nabila yang lebih yakin dan bersemangat. Setiap lagunya menjadi menguasai carta dan ketika ini, Nabila mengumpul ramai peminat yang kebanyakannya merupakan golongan siswa dan siswazah.

Baginya, segala usaha dan penat lelah berhasil.Tiada formula kejayaan yang dapat dikongsi, hanya cerita kerja keras dan kegigihan.

“Yang penting usaha, kerja keras dan keselesaan kita membawakan genre yang kita minat. Saya tahu jenis lagu yang boleh saya bawa, itu sahaja,” katanya.

Nabila dalam pada itu berterima kasih kepada peminatnya yang selama ini menyokong kerjaya seninya sejak dia mula menyanyi ketika menyertai Akademi Fantasia musim ke-10.

“Saya tidak akan membiarkan tohmahan dan cacian membunuh impian saya. Kita tidak boleh memaksa orang untuk menyukai kita.

“Saya hanya mampu memilih untuk fokus dan menghargai orang yang menyokong kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nabila tidak tergamak menghampakan peminat yang selama ini menyokongnya hanya disebabkan segelintir mulut-mulut pembencinya.

“Kenapa perlu saya berputus asa? Sayanglah, kerana di belakang saya ada ramai yang memberi sokongan.

“Peminat inilah yang melihat jatuh bangun saya. Merekalah yang tahu betapa saya bekerja keras, pergi kelas vokal hampir setiap hari untuk memperbaiki nyanyian.

“Jadi, saya anggap peminat juga rezeki yang Allah hadirkan. Janganlah kita persoalkannya. Mereka tidak pernah mempertikaikan kesungguhan kita. Kasihan mereka kalau saya berputus asa sekarang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN