PUTRAJAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd Puad Zarkashi yakin ada dalam kalangan ahli Parlimen termasuk kepemimpinan di peringkat Majlis Tertinggi dan Ketua Bahagian parti itu berpendirian menolak sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau percaya, mereka mempunyai sebab tersendiri tidak mahu bersuara terutama dalam kalangan ahli Parlimen.
Atas dasar itu, katanya, beliau turut berkeyakinan mereka itu mahu menunggu siapa yang berani memulakan tindakan.
“Sebab itu, saya menyarankan kalau tiga orang sahaja yang menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sudah cukup besar dan memadai.
“Ahli politik sekarang kena ada keberanian politik. Jangan jadi bangsa penakut terutama penakut dalam membetulkan perkara yang salah,” katanya semalam.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu, adalah satu perkara salah jika kepemimpinan kerajaan sekarang tidak memenuhi sepenuhnya kehendak rakyat dalam kesusahan ekoran pandemik Covid-19.
Katanya, pendirian itu senada dengan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini yang membuat kenyataan jujur dan terbuka mengenai ‘sokongan bersyarat’ terhadap Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.
Menurut Najib kata beliau, jika tiada perubahan dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus berdolak-dalik selepas satu tempoh yang munasabah, BN masih ada cara untuk bertindak.
“Semua itu terbuka. Tiada sembunyi sembunyi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Puad menjelaskan, cadangan tarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri bukanlah perkara yang boleh membawa kepada perpecahan kerana tindakan itu adalah demi rakyat.
Sebenarnya kata beliau, ahli Parlimen UMNO sudah bersikap jujur kerana menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri walaupun beliau terlibat dalam konspirasi menjatuhkan UMNO semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Ditanya mengapa perlunya ahli Parlimen bertindak sekarang berbanding menunggu PRU-15, bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, perubahan kerajaan termasuk di peringkat negeri tidak perlu tunggu PRU.
“Saya tidak apologetik walaupun ia menjejaskan persepsi rakyat terhadap UMNO sehingga jika ada melabelkan UMNO sebagai tamak kuasa,” katanya. – UTUSAN










