KUALA LUMPUR: Titik perdamaian antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal semakin dapat dilihat meskipun berlaku pergelutan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini.
Ini kerana kedua-dua pemimpin tersebut difahamkan bakal berunding bagi membentuk persefahaman untuk memberi sokongan padu kepada pentadbiran Muhyiddin.
Namun, menurut sumber, sokongan itu hanya akan diberikan sekiranya UMNO tidak lagi menyokong Perikatan Nasional (PN), sekali gus Parti Warisan Sabah (Warisan) bersedia menggantikan tempat UMNO bagi membentuk kerajaan perpaduan.
“Sebab itu Warisan hanya menunggu apa sahaja keputusan UMNO. Jika UMNO menarik sokongan kepada PN, Warisan akan berusaha untuk menemukan Muhyiddin dengan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir dan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dalam masa terdekat.
“Untuk sementara ini, sokongan pada peringkat permulaan adalah untuk menyokong Bajet, tetapi selepas itu, kita akan fikirkan untuk membentuk kerajaan perpaduan,” katanya.
UMNO sebelum ini mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) sebanyak dua kali bagi membincangkan kedudukan parti itu serta resolusi kepada setiap persoalan yang dibangkitkan.
Namun sehingga semalam, UMNO menerusi kenyataan akhbar menjelaskan bahawa parti itu akan terus menyokong kerajaan PN, namun menggesa pilihan raya diadakan secepat mungkin apabila Covid-19 berkurangan.
Jelas sumber itu lagi, antara parti lain yang akan menuruti jejak langkah bagi membentuk kerjasama dengan Muhyiddin adalah DAP, Pejuang, serta GPS.
Namun gabungan itu tidak melibatkan PKR dan Amanah kerana sokongan yang diberikan adalah utuh untuk Muhyiddin kekal menjadi Perdana Menteri.
“Kalau ikut ‘mood’ sekarang, Warisan sudah bersedia untuk menyokong kerajaan Muhyiddin dan membentuk kerajaan perpaduan, tetapi ia tidak libatkan PKR dan Amanah.
“Sebab kita tahu PKR tetap pada pendirian untuk menyokong Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri, sedangkan kita menyokong Tan Sri Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri. Amanah pula hanya mengikut rentak PKR,” kata sumber itu lagi. -UTUSAN










