Ulat bungkus serang Felda di Tg. Malim - Utusan Malaysia

Ulat bungkus serang Felda di Tg. Malim

Keadaan pokok sawit yang kering akibat serangan ulat bungkus di satu kawasan Felda di Tanjung Malim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Beberapa kawasan Felda di Tanjung Malim diserang ulat bungkus pada tanaman kelapa sawit sehingga menjejaskan pendapatan peneroka.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Tanjung Malim, Azirul Syafiq Sazali berkata, masalah itu dikesan selepas lawatannya di beberapa kawasan Felda di Tanjung Malim baru-baru ini.

Menurutnya, ramai peneroka mengeluh disebabkan masalah itu kerana serangan ulat bungkus menjejaskan hampir 50 peratus penghasilan dari ladang mereka.

“Masalah ini merupakan perkara penting yang perlu di­selesaikan melalui bantuan kerajaan.

“Felda merupakan sumber ekonomi utama bumiputera, justeru kajian serta tindakan tegas perlu diambil bagi menjamin masa depan peneroka,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, kerajaan Pusat dengan kerjasama kerajaan negeri disaran melantik sebuah syarikat swasta yang pakar khusus untuk membasmi dan me­ngatasi masalah serangan ulat bungkus.

Beliau berkata, sebelum ini peruntukan telah disalurkan kepada sebuah agensi bagi me­ngatasi masalah serangan ulat bungkus.

“Namun ia gagal untuk membendung malah peneroka semakin terkesan pada ketika ini,” katanya.

Azirul Syafiq berkata, sera­ngan ulat bungkus bukan perkara baru yang dialami oleh pe­neroka Felda.

Katanya, ia merupakan masalah yang telah memberikan kesan buruk terhadap ekonomi, pendapatan serta tanaman pe­neroka.

“Malah data Lembaga Mi­nyak Sawit Malaysia (MPOB) pada tahun 2016 mencatatkan kerugian ekonomi akibat sera­ngan ulat bungkus sekitar RM24 juta.

“Sehubungan itu saya amat mengharapkan agar masalah ini menjadi perhatian pihak kerajaan,” katanya.

Ular bungkus merupakan serangga pemakan daun pokok sawit yang merosakkan daun hijau menjadi kering.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya