KUALA LUMPUR: Tidak adil untuk menilai kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) sebagai lemah pada ketika negara berdepan dengan krisis kesihatan global yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, masalah politik, kegawatan ekonomi dan penularan pandemik Covid-19 yang berlaku secara serentak menyebabkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berpeluang menyelesaikan masalah dalam masa singkat.
Bagaimanapun, kata beliau, kepincangan-kepincangan tersebut tidak boleh dijadikan ukuran kerana tiada pemimpin dalam mana-mana pentadbiran negara pernah berdepan situasi serius seperti sekarang.
“Kita tidak boleh menafikan bahawa ada pencapaian yang kita boleh banggakan daripada terus menumpukan perhatian kepada kelemahan yang ada dalam kerajaan.
“Kerajaan sebenarnya berjaya menguruskan negara dan rakyat dengan mempercepatkan aliran tunai, moratorium, mengstabilkan ekonomi negara serta menangani penularan wabak dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Mengulas lanjut, Nirwandy berkata, apa yang boleh dilakukan ketika ini adalah memberikan perkhidmatan terbaik berasaskan kepentingan rakyat dan dalam usaha ke arah itu, kerjasama dalam kalangan parti politik Melayu Islam amat perlu dengan bekerjasama dan memberikan sokongan penuh selain membentuk satu gabungan yang memastikan keselamatan politik, ekonomi dan kesihatan dalam keadaan baik.
Antara lain, beliau berkata, Muhyiddin perlu merombak semula Kabinet dengan mengambil kira gabungan ‘Melayu Islam’ dalam tiga parti tempatan terbesar iaitu UMNO, Bersatu dan Pas bagi membentuk sebuah pentadbiran yang kukuh dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
“Sudah tiba masanya rakyat memberikan keutamaan agar proses kestabilan dapat dicapai oleh parti Melayu Islam. Sudah tentu ada pihak berkepentingan ingin menyelamatkan kedudukan mereka tetapi pada masa ini satu rekonsiliasi yang jujur dan ikhlas di antara PN, Pas dan UMNO perlu dilaksanakan kerana inilah asas pembentukan gabungan yang sempurna,” katanya. -UTUSAN










