Tiada lagi khidmat pemandu pelancong - Utusan Malaysia

Tiada lagi khidmat pemandu pelancong

MUHAMMAD Farhans Hussain Al-Hajj kini melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjual biskut dan kek selepas kerjaya sebagai pemandu pelancong terjejas akibat Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Lebih 80 pemandu pelancong di negeri ini terpaksa melupakan kerjaya di dalam industri berkenaan buat sementara waktu akibat penularan Covid-19.

Kesemua mereka hilang mata pencarian sejak Februari lalu dan terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan antaranya menjadi penghantar makanan dan penjual kek demi meneruskan kelangsungan hidup.

Malah, ada dalam kalangan mereka yang mempunyai syarikat pelancongan sendiri terpaksa menutup operasi akibat kesan pandemik berkenaan.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Mutiara (PPPM), Muhammad Farhans Hussain Al-Hajj berkata, tempahan bagi khid­mat pemandu pelancong mula dibatalkan hujung Februari lalu.

Tambahnya, sejak itu dan sehingga kini, tiada seorang pun antara ahli persatuan tersebut menerima tugasan sebagai pemandu pelancong.

“Pada Mac lalu bermula Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak yang masih berterusan sehingga kini menyebabkan ramai pemandu pelancong terpaksa menjalankan pelbagai jenis pekerjaan untuk menyara keluarga,” katanya di sini semalam.

Muhammad Farhans yang merupakan bapa kepada empat anak berkata, dia sendiri me­lakukan pelbagai jenis pekerjaan antaranya menjadi penghantar barang, membantu isteri menjual kek dan perunding takaful untuk menyara keluarga.

“Dahulu dalam sehari seorang pemandu pelancong memperoleh antara RM200 hingga ke RM350 untuk satu tugasan,” katanya.

Dalam pada itu, dia berharap kerajaan dapat menge­cualikan pembayaran pembaharuan lesen dan lesen-lesen tambahan bagi pengusaha-pe­ngusaha pelancongan serta pemandu pelancong sehingga industri itu pulih semula.

“Tahun ini kami langsung tiada pendapatan sebagai pemandu pelancong dan mungkin khidmat kami hanya disediakan apabila pandemik ini benar-benar pulih,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN