Sidang Parlimen aman, separuh hari - Utusan Malaysia

Sidang Parlimen aman, separuh hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hari pertama Sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang bermula semalam berlangsung aman dan terkawal tidak seperti kebiasaan penuh dengan `kata-mengata’ sehingga mengundang perbalahan dan suasana kecoh.

Mesyuarat semalam penuh tertib dan banyak berkisar kepada persoalan dan jawapan mengenai Covid-19. Malah usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak langsung kedengaran.

Bahkan persidangan kali ini juga tidak banyak celahan atau ‘pertengkaran’ daripada pembangkang mahupun ahli parlimen kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, ahli parlimen dilihat cukup terkawal dari segi prosedur operasi standard (SOP), semua arahan dipatuhi dan tiada perdebatan ‘panas’.
Katanya, mungkin kerana semua ahli parlimen bersepakat untuk membincangkan isu lebih penting iaitu melibatkan keselamatan dan kesihatan rakyat, selain menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.
“Bagi pihak kerajaan, kita sudah mencadangkan agar bukan semua ahli parlimen akan duduk dalam Dewan ketika berbahas, sebaliknya akan ada antara mereka duduk di bilik khas yang disediakan bagi mendengar perbahasan, kemudian hanya masuk untuk bertanya soalan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parliman Bayan Baru parti Pakatan Harapan, Sim Tze Tzin menyifatkan ‘kedamaian’ pada hari pertama Dewan bersidang kerana terdapat isu lebih penting harus dibincangkan secara baik tidak kira kerajaan mahupun pembangkang.
“Kita mahu dalam Covid-19 ini kurangkan politik, kita nak balik kepada isu rakyat tapi semua hanya terkejut bila masa bersidang dipendekkan.
“Saya rasa tidak wajar sebab Parlimen perlu berkhidmat dengan rakyat. Rakyat sedang menunggu dan kasihan kepada ahli parlimen dari Sabah, dikuarantin 14 hari tetapi tempoh bersidang dipendekkan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, ketika usul penangguhan mesyuarat dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan, hanya Tze Tzin membangkitkan persoalan rasionalnya persidangan perlu dipendekkan.

Selain itu, tercetus sedikit kekecohan apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bertengkar dengan M. Karuppaiya (PH-Padang Serai) yang bersahaja meminta kerajaan ditukar sebaik usul penangguhan mesyuarat dibuat.

Azhar mempersoalkan kenyataan Karuppaiya dengan membangkitkan peraturan mesyuarat 12(1). Usul itu kemudian disokong Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin seterusnya diluluskan Dewan Rakyat.

Sesi persidangan ditamatkan pukul 1 tengah hari dan Azhar membayangkan kemungkinan memendekkan sesi Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung sehingga 15 Disember apabila memaklumkan perkara tersebut sedang diperhalusi kerajaan.

Sementara itu, Takiyuddin mengesahkan penangguhan mesyuarat dilakukan ekoran kakitangan Dewan Negara yang juga pegawai khas kepada Senator Ras Adiba Radzi dijangkiti Covid-19.

Kata Takiyuddin, langkah tersebut atas nasihat wakil Kementerian Kesihatan (KKM) dan persetujuan ketua Whip menerusi mesyuarat tergempar sebelah pagi dengan dipengerusikan Azhar.

Antara yang hadir ke mesyuarat khas bersama Azhar ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Gombak); Anthony Loke (PH-Seremban) dan Datuk Rozman Isli (Warisan-Labuan).

Beberapa cadangan turut dikemukakan ahli parlimen termasuk Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang mahukan sesi persidangan ditambah sekurang-kurangnya seminggu lagi andai tempoh masa mesyuarat harian dipendekkan.

Selain itu, persidangan turut menyaksikan bacaan kali pertama Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 dan RUU Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020 akan dibentang.
RUU Koperasi (Pindaan) 2020, RUU Racun (Pindaan) 2019 dan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 akan dibentang untuk bacaan kali kedua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN