Sekolah, institusi pendidikan KPM tutup hingga 17 Disember - Utusan Malaysia

Sekolah, institusi pendidikan KPM tutup hingga 17 Disember

DR. MOHD. RADZI MD. JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan seluruh negara ditutup bermula esok sehingga 17 Disember ini (bagi negeri-negeri kumpulan A) dan 18 Disember (bagi negeri-negeri kumpulan B) iaitu pada tarikh akhir sesi persekolahan tahun ini.

Menteri Pendidikan, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, langkah itu bagi membantu usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan jangkitan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, sesi persekolahan tahun depan bermula pada 20 Januari 2021 sepertimana Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 yang diumumkan sebelum ini.

“Semua murid sekolah rendah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut termasuk sekolah menengah bagi pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 serta semua murid Kolej Vokasional,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata Mohd. Radzi, murid Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh sama menerusi Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid serta kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021.

“Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengajaran dan pembelajaran tetap diteruskan secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid.

“Pentadbir sekolah perlu memastikan guru dan murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah. Sepanjang tempoh ini juga, guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi murid yang tinggal di asrama, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil mereka untuk pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, murid boleh terus kekal berada di asrama sementara menunggu diambil oleh ibu bapa atau penjaga.

“Sepanjang tempoh tersebut, murid berada di bawah pengawasan warden asrama. Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut disediakan pihak sekolah,” katanya.

Beliau berkata, tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan dipinda serta bermula pada 22 Februari 2021.

Jelasnya, bagi peperiksaan STPM pula bermula pada 8 Mac 2021 dan perincian tentang semua peperiksaan awam itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Peperiksaan percubaan SPM, kerja kursus serta pentaksiran yang dijadualkan sehingga Disember 2020 yang belum diselesaikan, kementerian akan menjadualkan semula semua pentaksiran tersebut dan akan dimaklumkan kemudian.

“Kesemua ketetapan ini juga terpakai kepada sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan kementerian. Bagi sekolah yang tidak berdaftar, mereka juga disaran untuk mengikuti ketetapan ini,” katanya.

Beliau turut memberitahu, kemasukan murid ke sekolah khusus termasuk sekolah berasrama penuh, sekolah menengah kebangsaan agama, sekolah menengah teknik, Kolej Vokasional dan Maktab Tentera Diraja, pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Selain itu, katanya, penjadualan semula peperiksaan awam itu tidak menjejaskan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan institusi peringkat tertiari awam yang lain bagi tahun 2021 melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

“Bagi pelajar Program Matrikulasi KPM dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), mereka meneruskan pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya dan melakukan ulang kaji kendiri sehingga 31 Disember 2020.

“Pelajar Program Matrikulasi KPM akan kembali semula ke kolej dan meneruskan program pada 4 Januari 2021. Ujian Malaysian University English Test (MUET) untuk pelajar matrikulasi yang dijadualkan pada 8 hingga 19 Disember ditangguhkan ke tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata, bagi pelajar IPG, penyampaian pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran bagi semua program pengajian akan dilaksanakan seperti dalam kalendar akademik Program Pendidikan Guru Sesi 2020/2021 dan Sesi 2021/2022.

Katanya, pelajar IPG akan kembali ke kampus dan meneruskan pengajian pada 17 Januari 2021. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.