fbpx

25 Februari 2021, 3:29 pm

Peruntukan RM200 juta untuk Jakim, pejabat mufti – Pak Wan

MOHD. REDZUAN MD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdanan Menteri (JPM) menafikan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berhubung peruntukan berjumlah RM200 juta untuk melantik pegawai kontrak lantikan politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat jawatan kuasa bagi JPM menjelaskan, dana berkenaan adalah untuk Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pejabat mufti, Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Tiada pelantikan kakitangan kontrak lantikan politik menggunakan peruntukan ini. Jumlah RM200 juta bagi tahun 2021 tersebut adalah untuk Angkatan Pertahanan Awam, Jakim, pejabat mufti, Mampu, Nadma dan lain-lain,” katanya di Dewan Rakyat.

Anwar ketika berbahas mencabar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bangun memberikan penjelasan berkenaan peruntukan bernilai RM200 juta di bawah JPM yang didakwa bakal digunakan bagi melantik pegawai kontrak lantikan politik.

Katanya, angka sebesar itu tidak sepatutnya disediakan bagi tujuan berkenaan ketika banyak rakyat yang menganggur akibat pandemik Covid-19.

Beliau turut menyentuh pelantikan duta-duta khas yang didakwa tugasnya bertindih dengan Kementerian Luar dan duta-duta besar sedia ada.

Menjawab mengenai persoalan itu, Mohd. Redzuan berkata, pelantikan duta-duta khas adalah amalan biasa malah pentadbiran terdahulu juga melaksanakan atas faktor keperluan strategik negara.

“Antara tugas duta-duta khas adalah untuk meningkatkan hubungan Malaysia dengan negara-negara yang duta khas ditugaskan. Ia meliputi dalam peningkatan ataupun meningkatkan lagi hubungan luar pelaburan ekonomi dan pembangunan projek-projek strategik.

“Tambah lagi kalau kita lihat hari ini, kita mengalami pandemik Covid-19 dan kita lebih fokus kepada projek-projek yang strategik,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE