WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi bayangan beliau mungkin mengusir Elon Musk yang dilahirkan di Afrika Selatan dari negara ini, susulan kritikan tajam bilionair itu terhadap rang undang-undang perbelanjaan utama yang menjadi sandaran pentadbiran Trump.
Trump menegaskan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), agensi yang pernah diterajui oleh Musk sebelum meletakkan jawatan pada akhir Mei mungkin akan diarahkan untuk menyiasat subsidi kerajaan yang dinikmati oleh tokoh industri Tesla dan SpaceX itu.
“Saya tidak tahu kita akan lihat nanti,” ujar Trump apabila ditanya sama ada beliau serius mahu mengusir Musk.
Trump turut mengulangi ancaman tersebut dengan mendakwa Musk kecewa kerana rangsangan untuk kenderaan elektrik (EV) telah digugurkan daripada draf akhir rang undang-undang yang dikenali sebagai ‘One Big Beautiful Bill’.
“Dia kehilangan mandat EV. Dia sangat marah, tapi saya boleh katakan, Elon mungkin akan kehilangan lebih banyak lagi selepas ini,” ujar Trump.
Dalam catatan menerusi laman sosialnya, Truth Social, Trump turut menyindir ‘tanpa subsidi, Elon mungkin terpaksa tutup kedai dan balik ke Afrika Selatan’.
Musk, yang kini merupakan orang terkaya di dunia pernah menjadi penyumbang terbesar kepada kempen pilihan raya Trump pada tahun 2024, dan sering berada di sisi presiden itu pada awal pentadbiran.
Namun, hubungan antara kedua-dua tokoh tersebut semakin dingin, apabila jutawan Tesla tersebut mengecam kandungan rang undang-undang yang disifatkannya mengabaikan komitmen terhadap tenaga bersih dan revolusi EV.
Dalam beberapa kenyataan terbaharu, Musk turut mencadangkan parti politik baharu, dikenali sebagai “America Party”, ditubuhkan sekiranya rang undang-undang itu diluluskan oleh Kongres.
Kritikan terbuka ini menandakan satu lagi babak tegang dalam hubungan antara dua tokoh paling berpengaruh dalam politik dan teknologi Amerika Syarikat ketika ini.










