Tropicana, MBSB Bank sedia pembiayaan untuk Skypark Kepler

Tropicana, MBSB Bank sedia pembiayaan untuk Skypark Kepler

IXORA Ang (dua dari kiri) bersama Pengarah Urusan, Wilayah Selatan Tropicana, Ir. Dr. Jeffrey Yeo (tiga dari kiri) dan Usman Ghouse (tiga dari kanan) selepas pemeteraian MoU di Tropicana Danga Bay Property Gallery, Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Malaysia Building Society Berhad (MBSB Bank) bagi menawarkan penyelesaian pembiayaan istimewa kepada pembeli projek kediaman mewah terbaharu, Skypark Kepler di Lido Waterfront Boulevard (LIDO), Johor.

Melalui kerjasama itu, pembeli ditawarkan margin pembiayaan kompetitif sehingga 95 peratus, tempoh pinjaman sehingga 35 tahun serta kadar faedah istimewa serendah 3.85 peratus, tertakluk kepada penilaian kredit masing-masing.

Pengarah Urusan Bahagian Pemasaran, Jualan dan Pembangunan Perniagaan Tropicana, Ixora Ang berkata, kerjasama strategik itu menyerlahkan komitmen MBSB Bank dalam menyokong projek Skypark Kepler menerusi pakej pembiayaan yang fleksibel dan kompetitif.

“MBSB Bank kini menyasarkan segmen pasaran mewah, selari dengan kumpulan sasaran bagi kediaman berjenama pertama kami di Johor ini.

“Paling penting, mereka menawarkan pembiayaan sehingga 90 peratus ditambah lima peratus, kadar faedah yang lebih menarik serta kemudahan pinjaman kepada pembeli asing.

“Selain itu, tempoh pemprosesan yang lebih pantas membantu mempercepatkan proses pemilikan rumah, sekali gus menjadikan pengalaman pembelian lebih cekap dan lancar,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Skypark Kepler dan pemeteraian MoU tersebut di Tropicana Danga Bay Property Gallery, Johor Bahru di sini semalam.

Menurut beliau, MBSB bukan satu-satunya institusi kewangan yang menyediakan kemudahan pembiayaan bagi projek itu, namun ia merupakan bank yang menawarkan kadar pinjaman pembiayaan yang rendah. 

Mengulas lanjut, Ixora berkata, projek Skypark Kepler dijangka meraih manfaat langsung daripada pelaksanaan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura yang menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands North dalam masa tujuh hingga 10 minit sahaja.

“Infrastruktur itu dijangka siap menjelang 2026 dan bakal meningkatkan nilai lokasi LIDO, sekali gus menjadikan Skypark Kepler pilihan pelaburan strategik berdekatan stesen pengangkutan utama.

“Projek ini juga akan diuruskan oleh jenama hospitaliti antarabangsa bertaraf Top-4 global di bawah Banyan Group yang menawarkan pelbagai manfaat eksklusif kepada pemilik unit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan MBSB, Usman Ghouse berkata, pihaknya komited menyokong pembangunan Skypark Kepler menerusi penyediaan pakej pembiayaan tersuai yang dirangka khusus bagi memenuhi keperluan pembeli segmen mewah.

Katanya, kerjasama strategik itu juga selari dengan inisiatif kemampanan yang didukung oleh MBSB memandangkan Skypark Kepler merupakan bangunan hijau yang diperakui.

“Johor kini mencatatkan pertumbuhan pesat yang dipacu oleh pembangunan infrastruktur dan dasar ekonomi yang kondusif. 

“Kami mahu menjadi sebahagian daripada momentum ini dengan menawarkan kadar pembiayaan yang lebih rendah berbanding institusi kewangan utama lain.

“Kadar 3.85 peratus ini sangat kompetitif dan kami percaya ia mampu membantu meningkatkan keupayaan pemilikan rumah dalam pasaran mewah, tertakluk kepada kelulusan kredit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN