SST: KPDN laksana Op Kesan 4.0

SST: KPDN laksana Op Kesan 4.0

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Op Kesan 4.0 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bermula semalam, bagi memastikan tiada aktiviti pencatutan susulan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, orang ramai diminta untuk mengambil maklum hotline yang telah diumum oleh pihak KPDN dan membuat aduan sekiranya mendapati mana-mana premis perniagaan menaikkan harga dalam kadar yang tidak berpatutan.

“Insya-Allah pihak KPDN akan segera mengenal pasti premis-premis tersebut dan mengambil tindakan yang bersesuaian,” katanya dalam sidang akhbar mingguan di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Menteri Komuniskasi berkata, pihak kementerian giat menyelaraskan usaha bagi memastikan dana bagi penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) dapat disediakan dalam tempoh terdekat.

Jelas Fahmi, pihaknya juga sedang berusaha untuk mencari masa yang bersesuaian untuk mengadakan pertemuan fizikal bersama semua Ahli Lembaga Pengasas MMM.

“Memandangkan ada dalam kalangan wakil, bukan semua berada di Lembah Klang, maka kita akan cari masa bersesuaian untuk menjemput semua hadiri pertemuan.

“Kita jangkakan di pihak Kementerian Komunikasi, usaha untuk memastikan dana bagi memulakan majlis media ini dapat disediakan dalam tempoh yang terdekat,” katanya.

Mengulas mengenai mesyuarat Kabinet, Fahmi berkata, Jemaah Menteri meminta Kementerian Kesihatan (KKM) agar peka dengan keadaan cuaca panas berikutan peralihan Monsun Barat Daya bermula 10 Mei lalu dan dijangka berterusan hingga September ini.

“Jemaah Menteri telah minta supaya orang ramai sentiasa mengambil maklum mengenai notis atau pun pemakluman daripada pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)

“Manakala bagi kesesuaian aktiviti luar, Jemaah Menteri telah minta supaya Kementerian Kesihatan mengambil maklum dan membuat pengumuman yang bersesuaian dengan keadaan cuaca pada satu-satu ketika,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN