Penolong jurutera dituduh terima suapan - Utusan Malaysia

Penolong jurutera dituduh terima suapan

SYAMSUL Azrai Yusoff dibawa keluar dari bangunan Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menerima rasuah dan memalsukan dokumen.

Mengikut kertas pertuduhan, Syamsul Azrai Yusoff, 41, yang bekerja sebagaio penolong jurutera di Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dituduh mendapatkan RM1,000 daripada individu bernama Yow Kuan Mon di Maybank Jalan Bukit Ubi di sini.

Dia dituduh menerima suapan itu pada 20 Mei lalu melalui akaun Maybank atas namanya sendiri yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Bagi pertuduhan kedua pula, Syamsul dituduh menerima amaun yang sama daripada individu sama pada 29 Jun lalu di lokasi yang sama dan mempunyai hubungan tugas rasminya sebagai penolong jurutera MPK.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan berasingan, Syamsul dituduh menggunakan dokumen palsu iaitu surat Kelulusan Pelan Kerja-Kerja Tambahan Kecil dan surat Kelulusan Pembinaan Bangunan MPK pada sekitar Jun lalu di No. 10 Lorong Seri Teruntum 63 di sini.

Untuk pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan. 

Sejurus pertuduhan dibacakan, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nadzirah Zahari menawarkan ikat jamin RM5,000 dan tidak dibantah peguam Najmi Dawami Abdul Hamid yang mewakili tertuduh.

Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan jaminan seperti ditawarkan dan 18 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN