KUALA LUMPUR : Dasar Pandang Ke Borneo wajar diambil oleh kerajaan sebagai langkah menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa sederhana dan panjang.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) berkata, ini kerana kedudukan Sabah dan Sarawak yang strategik serta mempunyai sumber kekayaan semulajadi yang boleh dijadikan asas kepada dasar terbabit
Katanya, kedua-dua negeri yang kurang membangun itu akan menjadi lebih pesat jika diberi perhatian dan pelaburan yang sewajarnya.
“Saya cadangkan apa jua visi yang dicorakkan perlu mengambil pendekatan pandang ke timur, tetapi bukanlah Jepun. Cukuplah kita pandang ke Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Kalimantan.
“Adalah tidak masuk akal jika kita menggalakkan syarikat dari Malaysia untuk melabur ke luar negara tanpa memberi peluang mereka melabur di Sabah dan Sarawak yang penuh dengan potensi,” katanya dalam ucapan Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat semalam.
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan tidak boleh terlalu bergantung kepada ramalan agensi luar seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang dirujuk oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz
Menurutnya, ini kerana IMF tidak ada pengalaman untuk membuat ramalan dalam keadaan pandemik global yang tidak menentu.
“Pada Januari 2020, IMF meramalkan ekonomi negara berkembang sebanyak tiga peratus, untuk bulan April telah dikurangkan kepada -1.7 peratus dan bulan Jun -3.8 peratus dan -6 peratus pada Oktober tahun ini.
“Sebaliknya, Tengku Zafrul meramalkan ekonomi kita menyusut sebanyak 4.5 peratus untuk tahun 2020 dan pertumbuhan 6.6 peratus sehingga 7.5 peratus untuk tahun hadapan,” ujarnya.
Tambah Ahli Parlimen Pekan itu, apa yang menimbulkan persoalan ialah adakah kerajaanw sudah bersedia jika ramalan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini dan tahun hadapan tersasar jauh daripada ramalan awal. – UTUSAN










