Kongsi rezeki ketika PKPB - Utusan Malaysia

Kongsi rezeki ketika PKPB

NORHARIZAN Hassan (tengah) di depan Mek Jang Cafe di Kampung Losong Atap Zin, Kuala Terengganu, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pengusaha nasi ganja, Mek Jang Cafe berkongsi rezeki dengan menyediakan juadah percuma bagi golongan memerlukan bantuan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pemiliknya, Norharizan Hassan, 41, berkata, juadah percuma itu diletakkan dalam bakul makanan di hadapan kedainya di Kampung Losong Atap Zin, di sini.

Katanya, inisiatif itu adalah amalannya sejak penglibatan awal dalam bidang perniagaan makanan pada 2018 dan diteruskan sehingga kini.

“Setiap hari, sebanyak 10 bungkus nasi ganja disediakan dan usaha ini bukan daripada saya seorang tetapi turut disumbangkan pelanggan.

“Kebanyakannya yang menikmati manfaat itu ialah orang kurang upaya (OKU), warga emas dan gelandangan, malah ada juga dalam kalangan penganggur yang datang mengambil nasi ganja,” katanya di sini hari ini.

Norharizan berkata, pada hari pertama pelaksanaan PKPB di Terengganu hari ini, sebanyak 25 bungkus nasi ganja percuma disediakan hasil sumbangan pelanggan di kedainya.

Katanya, selain diletakkan di kedai, sumbangan nasi diagihkan kepada warga emas dan petugas barisan hadapan di sekitar Kuala Terengganu, sebelum ini.

“Saya amat berterima kasih kepada para pelanggan kerana menerusi sumbangan mereka lebih banyak lagi rezeki yang dapat dikongsikan dengan golongan memerlukan bantuan,” katanya.

Selain nasi ganja, ibu kepada tiga anak termasuk seorang OKU berusia 16 tahun itu turut menjual nasi dagang di samping aneka kuih-muih dengan dibantu suaminya, Mohd. Faizal Nizam Mohd. Speri, 40. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya