Ibu bapa terbeban dengan yuran taska - Utusan Malaysia

Ibu bapa terbeban dengan yuran taska

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati terhadap bebanan ditanggung termasuk pembayaran yuran taska walaupun pusat jagaan itu ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diteruskan di negeri ini.

Walaupun ada dalam kalangan mereka yang perlu membayar separuh sahaja daripada jumlah sebenar, bebanan itu tetap dirasai ibu bapa.

Seorang peniaga, Khairul Faizi, 32, berkata, dia terpaksa membayar yuran taska dua anaknya di Seri Kembangan walaupun pusat jagaan tersebut ditutup sejak sebulan lalu.

“Yuran asal bagi setiap anak adalah RM420 sebulan seorang dan pihak taska meminta saya membayar 70 peratus daripada yuran asal.

“Keseluruhannya, saya perlu membayar RM588 kepada pihak taska. Mungkin bayaran dikenakan adalah untuk kelas dalam talian tetapi berapa jam mereka ini mengikutinya?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Samir Omar Jahaya, 32, berkata, dia berasa sedikit terbeban apabila pihak taska anaknya masih me­mintanya membayar separuh yuran iaitu berjumlah RM200 sebulan.

“Bagaimanapun, saya tetap akur dengan permintaan taska tersebut atas dasar simpati dengan nasib yang menimpa sektor taska di negara ini.

“Saya memandangnya dari sudut positif kerana mungkin bayaran dikenakan untuk kelas dalam talian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita & Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, pihaknya belum membuat sebarang perbincangan sama ada pusat asuhan kanak-kanak (taska) perlu mengambil bayaran penuh atau sebaliknya daripada ibu bapa sepanjang pelaksanaan PKPB.

Menurutnya, pihaknya melihat kedua-dua pihak sama ada pemilik taska persendirian ataupun kerajaan perlu menanggung kos operasi.

“Dalam situasi seperti ini memerlukan komunikasi dua hala dan tolak ansur kerana pihak taska terpaksa mengeluarkan kos sendiri termasuk menanggung kos bayaran yang tidak dijelaskan penjaga terjejas pendapatan.

“Pada masa sama, taska juga perlu bertimbang rasa kepada ibu bapa yang terjejas darip segi pendapatan tetap,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN