Hishammuddin, Azmin harap hubungan dengan AS kukuh di bawah Biden - Utusan Malaysia

Hishammuddin, Azmin harap hubungan dengan AS kukuh di bawah Biden

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap dapat terus bekerjasama dengan bakal pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) di bawah kepemimpinan Joe Biden.

Menerusi ciapan akaun Twitter beliau, Menteri Luar itu menzahirkan harapan secara peribadi bagi memastikan kerjasama komprehensif Malaysia-AS meningkat lebih tinggi.

“Tahniah presiden dipilih dan naib presiden, Kamala Harris atas kemenangan dalam Pilihan Raya 2020,” katanya melalui ciapan itu dengan tanda pagar #Elections2020.

Beliau turut melampirkan kenyataan media Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengucapkan tahniah kepada Biden setelah disahkan menang jawatan Presiden AS ke-46.

Calon Demokrat itu mengetepikan Donald Trump setelah meraih 290 undi Electoral College atau Dewan Pemilih berbanding penyandangnya dari Republikan sekadar 214 undi.

Biden, 77, akan mengangkat sumpah secara rasmi pada 20 Januari ini manakala Trump, 74, muncul presiden pertama bertahan sepenggal sejak era George Bush tewas pada 1992.

Hubungan diplomatik Malaysia dan AS mula dijalin sejak negara ini mencapai kemerdekaan pada 1957, namun kuasa dunia itu pernah ada pejabat konsulnya di Pulau Pinang pada 1918.

Jalinan itu diperkukuh menerusi lawatan rasmi ke Malaysia oleh Presiden AS ke-36, Lyndon Johnson pada 1966 dan kemudian Presiden AS ke-44, Barack Obama pada 2014.

MOHAMED AZMIN ALI

Sementara itu, Menteri Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut sependapat melahirkan harapan yang sama terhadap Biden.

“Kami juga optimis hubungan perdagangan Malaysia-AS akan kekal kukuh dengan komuniti perniagaan AS terus meneroka peluang pelaburan di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut mahu melihat kerjasama erat AS dengan ASEAN dalam usaha mempromosikan perdagangan serantau dan hubungan pelbagai hal melalui kerjasama ekonomi Asia Pasifik.

Ia susulan banyak cabaran global muncul tanpa dijangka sambil Mohamed Azmin berharap Biden dapat mencorakkan semula landskap geopolitik AS ke arah dunia yang lebih selamat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.