ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mengesan berlaku kenaikan harga barang keperluan di sini selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan pada 8 November lalu.
Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kenaikan harga itu dikesan selepas pihaknya membuat tinjauan di Pasar Besar Alor Setar setelah menerima aduan orang ramai dan peruncit.
Katanya, kenaikan harga melibatkan barang kawalan semasa perayaan Deepavali.
“Harga telur iaitu gred A naik daripada RM3.10 kepada RM3.40, gred B daripada RM2.90 kepada RM3.10 manakala gred C daripada RM2.70 kepada RM2.90.
“Harga bawang besar pula naik daripada RM3.50 kepada RM4 sekilogram manakala bawang merah daripada RM6 naik kepada RM8 sekilogram,” katanya selepas melakukan tinjauan di pasar besar itu hari ini.
Pelaksanaan PKPB bermula dari 8 November lalu hingga 9 Disember ini.
Menurutnya, antara barang lain yang mengalami kenaikan harga ialah halia iaitu naik daripada RM10 kepada RM13 sekilogram, cili besar daripada RM12 kepada RM15 dan cili daripada RM15 kepada RM18 sekilogram.
“Beberapa jenis sayuran lain seperti sawi, kangkung, tomato turut naik antara RM1 hingga RM2 bagi sekilogram,” ujarnya.
Kata Mohamad Yusrizal, kenaikan itu tidak sepatutnya berlaku ketika ramai pengguna berada dalam kesempitan wang disebabkan kehilangan kerja serta pendapatan terjejas ketika pandemik Covid-19.
Katanya, berdasarkan maklumat daripada peniaga dan peruncit, mereka terpaksa menaikkan harga berikutan kenaikan harga daripada pemborong.
“Selain itu, ada juga peniaga meluahkan rasa kecewa apabila terdapat bekalan bawang yang diterima daripada pemborong sudah buruk contohnya dalam seguni terdapat kira-kira sekilogram bawang yang buruk.
“Begitu juga dengan harga telur, peruncit terpaksa jual harga atas pagar iaitu hanya untung satu sen sahaja bagi setiap biji telur,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










