KOTA BHARU: Cadangan kenaikan gaji Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Belanjawan Kelantan 2021 bertujuan untuk dimanfaatkan bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing, bukan kepentingan peribadi.
ADUN Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, cadangan tersebut disensasikan pelbagai pihak yang hanya melihat dari satu sudut sahaja tanpa mengambil kira bagaimana seorang wakil rakyat boleh berbakti jika sumber kewangannya terhad.
Menjelaskan lebih lanjut, Ketua Penerangan UMNO negeri itu turut menggunakan analogi pembelian seekor lembu oleh seorang Yang Berhormat (YB) untuk menjamu penduduk di kawasannya.
“Wakil rakyat beli lembu, bukannya dia nak makan lembu itu, tetapi dia beli untuk bagi rakyat makan. Semua pihak kena tengok dari sudut yang berbeza, kalau tengok di sudut negatif, memang lain.
“Sebelum ini ada orang datang jumpa saya minta rumah, itulah realitinya.. Ada yang anak nak masuk universiti, perlu duit poket, macam-macam. Kalau tidak ada (wang), macam mana kita nak beri manfaat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berhenti rehat, di sini semalam.
Media sebelum ini melaporkan sekiranya diluluskan dalam Belanjawan Kelantan 2021, Exco kerajaan negeri dan wakil rakyat akan menikmati kenaikan gaji pokok sekitar RM3,000 hingga RM5,000.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, cadangan penyelarasan dan kenaikan berkenaan dilihat wajar memandangkan terdapat perbezaan gaji yang agak ketara dengan wakil rakyat di negeri lain.
Perkara itu menimbulkan pelbagai reaksi negatif orang ramai yang berpendapat kerajaan Pas Kelantan sepatutnya peka dengan situasi ekonomi sekarang yang menyaksikan rakyat hidup dalam kesusahan akibat pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut, Md. Alwi berkata, perkara itu masih di peringkat cadangan, selain belum dibentangkan secara rasmi dan jika tidak sesuai, ia akan diputuskan dalam persidangan DUN.
“Benda ini tiada isu pun tapi orang macam itulah.. ada yang suka tengok wakil rakyat ini tiada gaji. Fisabilillah, itu yang paling dia suka. Kalau saya tidak ada duit, saya nak cari di mana untuk bantu rakyat? Benda seperti ini yang kita kena fikir,” katanya. – UTUSAN










