Bekas pemain import NS mengaku salah tipu invois - Utusan Malaysia

Bekas pemain import NS mengaku salah tipu invois

MATHEUS Fernandes Vila Real (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan hari ini atas pertuduhan mempedaya seorang kakitangan bank dengan mengemukakan dokumen palsu bagi tujuan kiriman wang ke Brazil. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bekas pemain import pasukan bola sepak Negeri Sembilan mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mempedaya seorang kakitangan bank dengan membuat tuntutan invois palsu bagi tujuan kiriman wang ke negara asalnya bernilai RM48,879.

Tertuduh, Matheus Fernandes Vila Real, 28, yang berasal dari Brazil, mengangguk faham serta mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa Institut Terjemahan Negara dalam Bahasa Portugis di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Dengan pengakuan tersebut, mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman denda RM8,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayar denda.

Matheus Villa yang bermain selama dua tahun bersama pasukan Negeri Sembilan membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, pada 30 September lalu, tertuduh menipu seorang wakil dari pihak CIMB Cawangan Seremban dengan mempedayakannya untuk mempercayai Borang Permohonan Kiriman Wang (Remittance Applications Form) dan invois adalah benar.

Kedua-dua dokumen palsu tersebut adalah kononnya untuk tujuan pembelian barangan dagangan iaitu sejumlah 5,825 unit ‘dye ink’ bertarikh 23 September 2020 bernilai USD11,650 (RM48,879) dari pihak Wind Pasific Consulting Ptd.

Ia juga sebagai dorongan supaya pihak bank meluluskan permohonan pindahan wang miliknya secara transaksi dalam talian dari akaun CIMB Bank miliknya ke akaun Ambank milik Wind Pasific Consulting Ptd.

Bagi kesalahan tersebut, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya, memohon maaf kepada mahkamah dan memaklumkan tidak tahu bahawa perbuataannya itu adalah satu kesalahan di negara ini.

“Kontrak saya bersama Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) telah tamat dan saya kini tidak mempunyai pendapatan.

“Saya hanya mahu memindahkan wang kepada keluarga di Brazil, saya harap kes ini dapat diselesaikan segera dan dapat pulang ke Brazil,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad ketika prosiding memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran atas kesalahan dilakukan.

Matheus Vila yang beraksi di bahagian pertahanan mewakili pasukan Negeri Sembilan selama dua musim bermula tahun 2019. Sebelum itu, dia beraksi bersama beberapa kelab liga bawahan di Brazil.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya