PUTRAJAYA: Seramai 3.8 juta orang dewasa di negara ini dikenal pasti menghidap diabetes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dalam usaha memerangi Covid-19 ketika ini, harus diingat bahawa penyakit tidak berjangkit juga perlu dikawal.
Menurut beliau, jururawat memainkan peranan sangat penting dalam aktiviti pencegahan, saringan, rawatan serta pemulihan pesakit diabetes.
Justeru, katanya, bagi menghargai peranan petugas kesihatan itu, sambutan Hari Diabetes Sedunia yang akan disambut Sabtu ini memilih ‘Diabetes: Jururawat Nadi Perubahan’.
“Kita akan menyambut Hari Diabetes Sedunia iaitu serentak dengan sambutan Hari Deepavali.
“Dalam meraikan sambutan Hari Deepavali, jangan lupa untuk makan secara berhemah, patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan juga menjalani saringan kesihatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Noor Hisham berkata, dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya, ‘LightUpBlue@Putrajaya’ akan berlangsung bermula pukul 7.00 malam ini sehingga 15 November ini sempena sambutan Hari Diabetes itu.
Katanya, limpahan cahaya menerangi bangunan-bangunan dan persekitaran di Putrajaya dengan cahaya biru, sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada para jururawat dan lain-lain petugas barisan hadapan.
“Kita amat menghargai pasukan kesihatan yang terus cekal dalam memberikan penjagaan penyakit diabetes dan penyakit-penyakit kronik yang lain terutama dalam waktu mencabar ini,” katanya. – UTUSAN










