KUANTAN: Kerajaan dirayu membatalkan segara Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (PP) 1983 (Pindaan) 2019.
Cadangan pembatalan peraturan yang diwartakan pada 22 April 2019 dan berkuat kuasa 1 Mei tahun lalu berkenaan sebelum ini diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.
Bagaimanapun, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Raub, Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid berkata, sehingga kini masih tiada arahan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selaku pendaftar PP untuk berbuat demikian.
“PPK Raub merayu kerajaan khususnya Menteri Pertanian dan Industri Makanan supaya dapat segera mengeluarkan arahan pembatalan dan menarik balik peraturan berkenaan.
“Seluruh ahli PPK menantikan tindakan itu segera dilaksanakan kerana usul membantah peraturan berkenaan telahdiluluskan semua Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ronald mengumumkan pembatalan peraturan itu pada Majlis Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di Kuala Lumpur pada 6 Ogos 2020.
Ia bagi mengembalikan kuasa memilih kepemimpinan peladang diserahkan kembali kepada ahli peladang sendiri seperti mana peraturan terdahulu.
Mustaffar Kamal berkata, penarikan balik dan pembatalan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (PP) 1983 (Pindaan) 2019 penting bagi mengatasi kekangan yang dihadapi oleh PPK.
“Berikutan pemecatan empat AJP lantikan menteri terdahulu, PPK kini mempunyai tujuh AJP iaitu jumlahnya sama dengan korum tujuh orang.
“Kekangan dan masalah yang dihadapi oleh PPK sekarang adalah mesyuarat AJP PPK hanya dapat diadakan jika ketujuh-tujuh AJP dapat hadir,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembatalan juga penting sebagai sebahagian usaha memperkasa peranan PP di bawah Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang 1983 (Pindaan) 2019. – UTUSAN ONLINE










