KUALA LUMPUR : Sebanyak 912 akaun bank bernilai RM136.61 juta telah dibekukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh tiga tahun sejak 2018 sehingga Ogos lalu dipercayai hasil aktiviti haram.
Kesemua akaun bank tersebut merupakan 367 kes membabitkan pengubahan wang haram yang disiasat PDRM termasuk kes membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) .
Antara kes pengubahan wang haram yang disiasat seperti penipuan, jenayah pecah amanah, kongsi gelap dan perjudian.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, dalam tempoh sama, sebanyak RM800.28 juta pembekuan harta orang disiasat telah dibekukan bagi siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Daripada jumlah itu, kata Abdul Hamid, sebanyak RM143.23 juta aset dibekukan tahun ini berbanding RM297.90 juta tahun lalu diikuti RM382.15 juta (2018).
Ujarnya, pembekuan aset pada tahun ini juga turut melibatkan 37 kenderaan bernilai RM2.51 juta dan lapan hartanah berjumlah RM8.1 juta disita.
“Penyitaan ini dibuat terhadap harta dalam penyiasatan AMLATFPUAA, yang mana sitaan ini adalah di bawah kuasa Timbalan Pendakwa Raya apabila mereka berpuas hati dengan hasil siasatan yang dijalankan oleh pegawai penyiasat.
“Bagi tindakan pelucuthakkan harta penjenayah kepada kerajaan Malaysia, sejak awal tahun ini sahaja sehingga Ogos lalu, bahagian AMLA, PDRM telah berjaya melucuthak harta bernilai RM35 juta menerusi mahkamah berbanding sebanyak RM66.8 juta pada tahun sebelumnnya.
“Pelucuthakkan ini melalui proses mahkamah, sama ada melalui proses perbicaraan jenayah ataupun pelucuthakkan harta secara sivil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tegas Abdul Hamid, PDRM sentiasa memandang serius usaha memerangi jenayah pengubahan wang haram ini dan usaha keras sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan penjenayah tidak dapat menikmati hasil jenayah yang dilakukan.
“Ini jelas membuktikan bahawa PDRM serius dalam membanteras aktiviti pengubahan wang haram dengan menyekat perolehan hasil daripada kegiatan yang dilakukan.
“Melalui Amla, penjenayah terlibat dapat disekat daripada meneruskan operasi selain dikenakan tindakan,” ujarnya.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, Malaysia menjadi antara destinasi pemindahan wang haram yang dilakukan bank sejak dua dekad lalu hingga 2017.
Memetik laporan antarabangsa, BuzzFeed dan beberapa media lain mendedahkan dokumen yang diserahkan bank kepada Rangkaian Penguatkuasaan Jenayah Kewangan Amerika Syarikat (FinCEN) ia turut melibatkan transaksi Low Taek Jho atau Jho Low yang terkait dalam kes 1MDB.
Perkara itu dilakukan walaupun wujud amaran mengenai sumber wang berkenaan telah diberi oleh FinCEN.
Menerusi 2,100 fail dikongsi Konsortium Wartawan Penyiasat Antarabangsa (ICIJ), JPMorgan, bank terbesar di Amerika Syarikat (AS), didakwa memindahkan wang kepada individu dan syarikat berkaitan penjarahan dana awam di Malaysia, Venezuela dan Ukraine.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah dihubungi Utusan Malaysia, tetapi belum memberi sebarang maklum balas mengenai perkara itu.










