fbpx

27 Oktober 2020, 8:47 pm

  TERKINI

Nelydia lebih utamakan bulan madu – Hakim

Nelydia Senrose
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon drama Setia Hujung Nyawa, Nelydia Senrose tidak ikhlas melaksanakan tugasnya sebagai duta jenama syarikat kosmetik, Chriszen Malaysia Sdn. Bhd. selain sangat mengutamakan masa bulan madunya.

Pelakon itu didapati sengaja tidak memaklumkan kepada syarikat kosmetik tersebut walaupun mengetahui dia tidak dapat menghadiri pelancaran produk ‘Match Matte Serum Foundation’.

“Defendan kedua (Nelydia) mengetahui dia tidak dapat menghadiri majlis pelancaran pada 24 Mac 2019 namun dia menunggu 19 hari untuk memberitahu plaintif (Chriszen).

“Nelydia lebih mengutamakan bulan madunya daripada memenuhi tanggungjawab. Keterangan menunjukkan plaintif memaklumkan mengenai tarikh pelancaran tersebut sejak 8 Mac 2019 dan ia dipersetujui,” kata Hakim Shamsudin Abdullah.

Oleh itu, Shamsudin berkata, mahkamah mendapati alasan sebenar Nelydia tidak menghadiri acara pelancaran produk Chriszen adalah kerana pelakon itu lebih mengutamakan bulan madu dan bukan kerana notis tidak cukup.

Hakim Mahkamah Sesyen itu berkata, demikian ketika membaca penghakiman ringkasnya pada keputusan kes saman Chriszen terhadap Nelydia, 26, atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Nik Sen yang melanggar kontrak sebagai duta jenama.

Pada 6 April 2019, Nelydia sah menjadi isteri ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid dengan sekali lafaz pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara.

Selepas berpuas hati atas imbangan kebarangkalian, mahkamah mengarahkan Nelydia membayar ganti rugi khas bagi penyediaan acara berjumlah RM16,869.03, ganti rugi am sebanyak RM10,000.

Pelakon itu juga diminta mengembalikan kos perkhidmatan RM62,275 kepada Chriszen.

Shamsudin memerintahkan pelakon terbabit membayar kos sebanyak RM10,000.

Pada prosiding semalam, Chriszen diwakili peguam Tan Eng Keat dan Lim Sin Yee manakala Nelydia yang tidak hadir diwakili Amirul Izzat Hasri dan Lim Zi-Han.

Pada 7 Oktober 2019, Chriszen menyaman Alfie Management Sdn. Bhd. (Alfie Management) iaitu syarikat yang menyelia dan menguruskan artis tersebut.

Nelydia dinamakan sebagai defendan kedua manakala syarikat yang menguruskan dirinya sebagai defendan kedua. – UTUSAN