KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO Selasa ini bakal menentukan hala tuju parti sekali gus mempengaruhi landskap politik negara termasuk kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dalam mesyuarat dijadual berlangsung di Pahang, UMNO akan menentukan kedudukannya dalam gabungan PN selepas meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik.
Difahamkan, keputusan tersebut turut bergantung kepada hasil rundingan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam.
Keputusan tersebut akan dibawa dalam mesyuarat MT berkenaan.
Mesyuarat tersebut sepatutnya berlangsung kelmarin namun ditangguh berikutan bantahan beberapa ahli MT UMNO yang tidak mahu ia diadakan secara dalam talian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, keputusan sama ada ingin kekal dalam PN atau keluar akan ditentukan dalam mesyuarat Selasa ini.
“Sama ada UMNO ke kiri atau ke kanan, semua ditentukan selepas mesyuarat MT. Ia mengambil masa dalam dua ke tiga hari atau seminggu selepas keputusan MT dibuat.
“Maksud saya, apa jua yang berlaku kepada kerajaan diputuskan selepas mesyuarat MT. Kita menentukan hala tuju UMNO dahulu ke hadapan dan pilihan untuk terus kekal dalam kerajaan atau tarik diri ditentukan oleh MT.
“Kita dah bagi bayang-bayang, takkan tak faham lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tajuddin berkata, UMNO ada dua pilihan jika tidak lagi bersama PN iaitu mencari ‘rakan baharu’ atau berdikari sebagai parti pembangkang.
“Dalam politik memang hasrat semua parti untuk menjadi kerajaan, kalau tak boleh bentuk kerajaan, parti politik itu masih memberi perkhidmatan kepada negara dan rakyat. Bukannya mesti jadi kerajaan baru boleh berjuang untuk rakyat.
“Pas pun baru masuk dalam kerajaan. Dulu berpuluh tahun Pas hidup sebagai sebuah parti politik. Bukan sahaja hidup, tetapi juga aktif,” ujarnya.
Tambah beliau, ‘kawan baharu’ yang dimaksukkan adalah kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas mahupun bersama Parti Amanah Negara (Amanah) berikutan parti berkenaan mengambil kira kepentingan Melayu dan Islam dalam kerjasama tersebut.
Sementara itu, beliau berkata, PN tidak akan berdepan masalah kritikal dalam pentadbirannya jika Muhyiddin melantik Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata, ia adalah hak yang sewajarnya diberikan kepada UMNO berikutan memiliki jumlah kerusi lebih banyak dalam kerajaan hari ini.
“Muhyiddin perlu ingat, kami (UMNO) datang dengan banyak kekuatan untuk bentuk kerajaan. Tanpa kita kerajaan tak akan menjadi. Kalau Muhyiddin tahu apa yang dia perlu buat dari dulu, jawatan timbalan itu diberikan kepada UMNO, semua ini takkan jadi,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN










