DI sebalik pujian diterima Syahmi Sazli muncul dengan filem berjudul Mael Totey The Movie yang meraih kutipan RM2.56 juta dalam tempoh empat hari tayangan di Astro First, rupa-rupanya ada juga pihak menghentam teruk karya itu di layar perak.
Memang kritikan itu sudah jadi lumrah dalam dunia seni, tetapi janganlah pula bersikap bias, sementelah ada yang memandang rendah pada usaha ‘budak Kelantan’ ini.
“Walaupun ada yang berikan komen negatif termasuk menggelarkan ia bertaraf tontonan VCD, saya tak kecil hati. Kalau dilihat, setakat ini belum ada yang pernah angkat OKU sebagai pelakon di layar perak yang saya tampilkan ini. Ini menunjukkan saya berani ambil pendekatan ini di kala tak semua orang mahu buat,” katanya meluah rasa.
Melahirkan rasa syukur kerana masih ramai penonton menghargai usahanya itu, kata Syahmi, apa yang penting, dalam hiburan disajikan ada mesej tersirat kepada penonton.
“Saya perhatikan, adakala yang kecam-kecam tu sengaja nak cari kesalahan kita. Sebab memang itu niat mereka. Bukan nak tengok santai, tetapi nak cari kesalahan sedangkan ramai yang sokong penghasilan filem ini,” katanya.
MINTA NOMBOR AKAUN
Menyentuh isu tayangan secara haram filem berkenaan di saluran lain, pengarah berusia 25 tahun ini sedar, ada ketika tidak mampu mengawal biarpun orang ramai sedia maklum perbuatan itu salah.
Menurut Syahmi, sebab itu dia memasukkan mesej berbaur sindiran dalam jalan cerita Mael Totey lantas membiarkan sesiapa yang berbuat demikian berfikir sendiri.
“Memang saya nak orang yang tengok secara haram tu rasa bersalah. Jangan tak tahu, ada yang mesej saya di Instagram minta maaf berkali-kali mohon saya halal perbuatannya.
“Sampai ada minta nombor akaun saya untuk bayar semula harga tayangan filem dan saya jawab, kalau betul menyesal, langgan semula di saluran Astro First,” katanya.
Jelas Syahmi, dia tidak boleh membenarkan apa yang salah meski ada yang cuba meminta maaf kerana enggan perbuatan tersebut menjadi ikutan orang lain.
Karya sulung Syahmi ini mengangkat genre drama komedi. Ia mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha mempelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya. Pelakon lain termasuk Yoe Parey, Asif Suhaimi dan Emaleen Minhad.











