Lelaki lepaskan tembakan ke arah polis - Utusan Malaysia

Lelaki lepaskan tembakan ke arah polis

AZHAR Hashim menunjukkan senapang patah yang dirampas daripada seorang lelaki dalam sidang akhbar di Kulim, hari ini. - UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Sepasukan anggota polis terselamat daripada terkena tembakan dilepaskan seorang lelaki dalam Ops Tapis di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Baru, Labu Besar di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang Isnin lalu itu, suspek berusia 30 tahun yang bersenjatakan senapang patah bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah lapan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim bagi mengelak ditahan.

Suspek yang merupakan seorang penganggur kemudian cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemukan selaras senapang patah bersama kelongsong peluru serta satu beg mengandungi dadah dipercayai syabu seberat 0.61 gram.

“Kita turut menemui tiga butir peluru hidup dan satu batang besi di dalam beg tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kulim di sini hari ini.

Kata beliau, hasil soal siasat ke atas suspek, pihaknya menahan dua lagi lelaki berusia 54 dan 83 tahun pada keesokan harinya.

“Suspek pertama mendakwa membeli senapang patah daripada seorang individu pada harga RM500, dua tahun lepas.

“Susulan itu, anggota dari Bahagian Jenayah Berat (D9) menyerbu sebuah rumah di Kuala Tawar, Sungai Kob di sini dan menahan seorang lelaki berusia 54 tahun kira-kira pukul 4 petang,” ujarnya.

Menurut Azhar, hasil pemeriksaan ke atas rumah tersebut menemui dua laras senapang buatan sendiri yang disembunyikan di dalam sebuah almari dan beberapa butir peluru penabur di bawah tilam.

“Suspek kedua kemudian mendakwa membeli peluru hidup daripada seorang individu lain sebelum menahan seorang lelaki berusia 83 tahun yang merupakan bekas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di sebuah rumah di Kampung Bukit Chempedak di sini kira-kira dua jam kemudian.

“Kita menemui selaras senapang patah dan beberapa butir peluru penabur dan hasil siasatan mendapati dia mempunyai lesen pemilikan senjata api (Lesen A) yang masih sah,” jelasnya.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek yang memberi alasan memiliki senjata api untuk menembak haiwan liar direman mulai 19 Oktober lalu hingga hari ini.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN