Pemuda Pas Perlis pertahan pendirian SD wujud, dakwa diakui sendiri tiga bekas ADUN Pas - Utusan Malaysia

Pemuda Pas Perlis pertahan pendirian SD wujud, dakwa diakui sendiri tiga bekas ADUN Pas

HAZIQ ASYRAF DUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemuda Pas negeri kekal dengan pendirian dan percaya wujudnya akuan bersumpah (SD) membabitkan penglibatan wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam usaha menjatuhkan bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli sebelum ini.

Ketuanya, Haziq Asyraf Dun berkata, ia berdasarkan pengakuan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas semasa pertemuan bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas pusat pada 21 Disember tahun lalu.

Katanya, pertemuan tersebut pada masa itu, turut melibatkan kesemua ADUN dari Pas

Beliau berkata, berikutan itu, Pas berpegang teguh kepada pengakuan dibuat oleh tiga wakil rakyat terlibat berhubung kewujudan SD tersebut.

“Kita lihat bila tiga ADUN terlibat mengakui tentang SD itu dan ditandatangani oleh mereka, jadi itulah yang menjadi bukti (kewujudan SD). Kita berpegang kepada pengakuan yang dibuat oleh tiga ADUN Pas terlibat,” katanya ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Haziq berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataannya semalam yang kesal dengan tindakan Bersatu yang secara berterusan menafikan peranan ADUN mereka dalam usaha merancang menjatuhkan Mohd. Shukri.

Manakala Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dalam respon terhadap kenyataan tersebut menyarankan agar Haziq Asyraf tidak lagi membangkitkan isu lama berkaitan SD dan kemelut bekas Menteri Besar.

Sementara itu, Haziq turut mengesahkan bahawa tiada usul undi tidak percaya terhadap Abu Bakar akan dibawa dalam kalangan ADUN Pas selari dengan kenyataan dibuat oleh Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Yang itu kita lihat (kepada kenyataan Pengerusi PN Perlis semalam), saya pegang yang Pengerusi Perikatan Nasional Perlis, (Datuk Seri Shahidan) sebab dia AJK Pas Pusat, kalau saya nak banding dengan AJK Pas Pusat (beliau lebih berautoriti berhubung soal ini), (kerana) saya Ketua Pemuda Pas (Perlis sahaja), Datuk Seri Shahidan kata apa, itu yang kami ikut (sebagai pendirian semasa),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN