Langgan artis: Pantau aktiviti golongan berpengaruh - Utusan Malaysia

Langgan artis: Pantau aktiviti golongan berpengaruh

LUQMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skandal artis dilanggan ahli politik boleh di­selesaikan jika pihak berwajib memantau pergerakan aktiviti golongan berpengaruh dalam media sosial.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Luqman Abdullah berkata, isu tersebut bagaimanapun sukar diselesaikan kerana untuk menuduh seseorang itu melakukan zina memerlukan empat orang saksi dan mereka yang terlibat dalam aktiviti tersebut belum didedahkan identitinya.

“Penguatkuasaan undang-undang memainkan peranan pen­ting untuk menghentikan perbuatan ini. Agensi atau jabatan yang terlibat harus sentiasa memantau laman sosial golongan berpengaruh yang tampil dengan gambar-gambar tidak senonoh.

“Mengikut pandangan saya, dakwaan ini adalah ibarat andaian sahaja kerana tiada nama atau individu yang didedahkan kepada pihak berkuasa. Usaha untuk mengekang masalah ini harus dilakukan secara berhati-hati supaya tidak membuka aib mana-mana pihak,” katanya di sini semalam.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan terdapat segelintir ahli politik serta golongan kelas atasan dipercayai terbabit dalam kegiatan seks melibatkan artis tanah air.

Kegiatan itu dikatakan sukar untuk disekat kerana ia sentiasa mendapat permintaan golongan kelas atasan sejak dahulu.

Menurut Luqman, golongan berpengaruh di media sosial perlu sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada umum dan tidak mengambil mudah de­ngan kemampuan mereka untuk mempengaruhi masyarakat.

“Sekiranya hal ini betul-betul berlaku, ia amat menyedihkan untuk negara kita yang agama rasminya adalah Islam. Golongan artis atau individu popular harus sentiasa berhati-hati memuat naik gambar atau posting di media sosial kerana sering mendapat tumpuan dalam kalangan rakyat.

“Tunjukkan contoh yang baik dan sentiasa menonjolkan akhlak mulia kerana ramai di luar sana memandang anda sebagai ikon dan sering terpe­ngaruh dengan tindakan yang digambarkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN