Kita makin hilang adab - Utusan Malaysia

Kita makin hilang adab

Asuhan nilai murni dari peringkat kanak-kanak membolehkan mereka menjadi masyarakat yang mempunyai nilai amalan baik. – GAMBAR HIASAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejahtera itu merujuk kepada gaya kehidupan yang lestari. Ia juga mengadaptasi nilai- nilai murni dalam amalan kehidupan seharian serta mengubah sikap tingkahlaku bagi melahirkan masyarakat yang sejahtera.

Kita perlu memupuk kesedaran mengenai nilai-nilai sejahtera dan kelestarian dari peringkat sekolah lagi. Pemupukan nilai sejahtera dari peringkat awal akan melahirkan generasi yang berbudaya tinggi dan mempunyai nilai-nilai adab yang baik. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) juga mengandungi nilai-nilai yang boleh melahirkan insan sejahtera seimbang dan harmoni dari semua sudut dalaman mahupun luaran.

Insan sejahtera yang lahir daripada usaha pendidikan awal adalah insan yang berkebolehan dan berdaya saing dalam mengawal diri melawan anasir jahat serta berdaya saing dalam melaksanakan amanah dan menyumbang kebaikan kepada keluarga, masyarakat dan negara. Asuhannya bermula dari peringkat awal, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Langkah dan usaha ini perlu digerakkan di saat kita dapat melihat perilaku ma­syarakat kita yang kini semakin hari sudah lari dari­pa­da nilai-nilai serta adab dalam pergaulan, kejiranan, membuang sampah merata-rata, tidak menjaga atau meme­lihara kemudahan awam waimah kebersihan tandas awam.

10 Ramuan Kesejahteraan

Pemupukan nilai sejahtera dan kelastarian ini adalah gambaran masyarakat yang bertamadun dengan kekuatan ilmu, kemahiran sains dan teknologi. Ia juga mendukung etika dan sistem nilai baik serta membawa kepada pekerti mulia yang sifatnya menyumbang dan mensejahterakan. Pembudayaan amalan dan nilai sejahtera ini boleh merujuk kepada cara hidup bertamadun tinggi berteraskan nilai mulia dan dihormati meliputi sikap, pergaulan, seni bina dan warisan serta bahasa di segenap lapisan masyarakat dan mencakupi semua aspek.

Memetik buku Essay on Sejahtera yang dihasilkan oleh Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Professor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak. Dalam buku tersebut menjelaskan bahawa kesejahteraan boleh dikecapi dengan 10 gabungan ramuan bagi kesejahteraan. 10 ramuan kesejahteraan tersebut ialah rohani, fizikal-psikologi, intelektual, kognitif, budaya, etika, emosi, ekologi, ekonomi dan sosial. Proses untuk mengimbangi ramuan kesejahteraan ini adalah satu proses yang berterusan dan perlu dipupuk melalui pendidikan awal.

Usaha mendidik untuk menerapkan nilai-nilai ini menjadi satu perkara yang penting kerana ia berkaitan dengan masyarakat dan tindak tanduk kita. Pembentukan masyarakat berbudaya tinggi juga akan mudah dibentuk seperti di Jepun.

Sekarang kita dapat lihat di saluran berita, pelbagai kejadian di luar batas pemikiran berlaku yang tindak-tanduknya sudah mula dibentuk sejak kecil lagi. Malah pasca Covid-19 ini telah menyumbang kepada isu-isu berkaitan masalah mental, tekanan perasaan dan kemurungan yang sudah mula nampak satu persatu muncul.

Pelbagai kes dilaporkan melibatkan masyarakat di usia muda malah di pe­ring­kat sekolah rendah lagi. Ibu bapa juga perlu mem­berikan contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak.

Kadangkala ibu bapa memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak tanpa kita sedari. Jadi, bagaimana kita mahu mendidik generasi akan datang kalau kita sendiri mempamerkan nilai-nilai yang tidak baik?

FPK Lahirkan Insan Sejahtera

FPK menggariskan usaha yang perlu dijalankan dalam pendidikan bagi melahirkan insan sejahtera yang dapat memastikan keharmonian dan kemakmuran untuk semua. Sebagai contoh paling mudah untuk diambil ialah hal berkaitan kebersihan seperti penjagaan kebersihan tandas awam ataupun taman rekreasi awam. Tanpa kesedaran sivik, ia memberikan satu gambaran kepada masyarakat luar bahawa rakyat kita tahap kebersihannya masih belum boleh dijadikan teladan ataupun contoh.

Contoh jelas yang boleh diambil dari negara matahari terbit iaitu Jepun yang mana pemupukan nilai-nilai murni mereka bermula dari sekolah rendah lagi. Anak-anak diajar bagaimana untuk membersihkan tandas dan lantai pada waktu persekolahan serta menjadi satu modul pembelajaran. Kita dapat perhatikan modul kemanusiaan masyarakat Jepun yang menekankan asuhan nilai budaya tinggi menjadikan rakyat negara itu mampu mematuhi peraturan serta berpegang kepada budaya tanpa mudah dipengaruhi arus kemodenan walaupun negara mereka dari segi teknologi sudah jauh ke hadapan.

Oleh itu, asuhan nilai murni bermula dari peringkat awal lagi dan anak-anak ini akan menjadi masyarakat yang mempunyai nilai amalan baik. Ia akan mempengaruhi keluarga, kawan, jiran dan masyarakat. Jadi, untuk mensejahterakan masyarakat, ia perlu dilaksanakan dari peringkat awal lagi terutama di sekolah kerana dalam FPK mengandungi idea dan pandangan rasional terhadap pendidikan.

FPK 1996 berbunyi : “Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

PENULIS ialah Pegawai Tadbir di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN