Kartunis bantu Daud Kilau menerusi jualan karikatur - Utusan Malaysia

Kartunis bantu Daud Kilau menerusi jualan karikatur

M. Daud Kilau menandatangani karikatur beliau sambil disaksikan oleh Mohd. Desa Omar atau Juragan di rumah penyanyi veteran itu di Bagan Datuk, Perak, semalam. – Utusan/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) dengan kerjasama Utusan Malaysia mengambil inisiatif membantu penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau menerusi jualan karikatur edisi khas gambar penyanyi ve­teran itu.

Pengurus RKKM, Tazidi Yusuf berkata, hasil jualan itu nanti akan disumbangkan kepada M. Daud Kilau yang menghidap penyakit sehingga tidak mampu lagi membuat persembahan pentas.

Menurut Tazidi, karikatur istimewa M. Daud Kilau itu dilukis oleh Norkamaro Mohd. Noor atau Maro, yang popular dengan kartun Mamak Cyber dan Malaysia Kita dalam akhbar Utusan Malaysia serta Mingguan Malaysia.

Menurutnya, hanya 10 karikatur yang tandatangani sendiri oleh Daud Kilau akan dijual kepada peminat penyanyi veteran itu.

“RKKM akan mengadakan pameran dan jualan termasuk karikatur M. Daud Kilau pada 20 Oktober ini di Galeri RKKM di Taman Botani Perdana, Jalan Cen­derawasih, Kuala Lumpur.

“Pameran selama sebulan itu akan disertai hampir 30 kartunis dari seluruh negara dengan jualan pelbagai jenis lukisan dan karikatur.

“Hasil jualan itu nanti akan disumbangkan kepada M. Daud Kilau,” katanya ketika menziarahi penyanyi veteran itu di sini semalam.

Turut hadir, Pengasas RKKM, Mohd. Desa Omar yang lebih popular dengan nama Juragan.

Menurut Tazidi, pameran dan jualan karikatur itu diadakan di bawah Program Kartunis Prihatin dengan kerjasama M. Daud Kilau.

“Selama ini kartunis banyak menggunakan karektor M. Daud Kilau dalam berkarya dan kini tiba masanya kartunis membalas budi beliau,” katanya.

Sementara itu, Maro berkata, para peminat M. Daud Kilau berpeluang memiliki karikatur edisi terhad penyanyi veteran itu.

“Hanya ada 10 karikatur eksklusif yang ditandatangani sendiri oleh M. Daud Kilau. Para peminat tidak seharusnya melepaskan peluang ini,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai karikatur eksklusif M. Daud Kilau itu dan pameran yang akan diadakan nanti, boleh dilayari di laman Facebook RKKM iaitu Rumah Kartun & Komik Malaysia – MCCH. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN