Juruteknik pakai gelang 'pink' dijel 14 hari, denda - Utusan Malaysia

Juruteknik pakai gelang ‘pink’ dijel 14 hari, denda

MD. Syafrizan Salleh (tengah) diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Melaka, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang juruteknik syarikat kejuruteraan dihukum penjara 14 hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana gagal mematuhi arahan menjalani kuarantin selepas pulang mengundi di Kota Kinabalu, Sabah, bulan lalu.

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Md. Syafrizan Salleh, 32, yang membuat pengakuan bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Nazrin yang mempunyai dua anak masing-masing berusia 11 bulan dan lima tahun itu didapati tidak mematuhi perintah sah dikeluarkan Pengarah Kesihatan dengan tidak melakukan kuarantin kendiri.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di bangunan pentadbiran persiaran penapisan Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah, pada 29 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, laporan polis dibuat seorang eksekutif sumber manusia di syarikat tertuduh bekerja yang memaklumkan lelaki tersebut pulang ke Kota Kinabalu pada 26 September untuk mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Bagaimanapun, enam hari kemudian tertuduh tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu Perintah Pengawasan dan Pemerhatian selama 14 hari sepertimana arahan dikeluarkan kerajaan.

Hasil siasatan mendapati, pekerja tersebut yang masih memakai gelang berwarna ‘pink’ hadir bekerja di syarikat terbabit serta membeli barang keperluan dalam tempoh kuarantin bermula 28 September hingga 11 Oktober.

Terdahulu, Peguam Pelatih Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Koh Kok Tian yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dapat diberikan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai kesalahan jenayah lampau, selain mengakui kekhilafan diri kerana tidak peka mengenai peraturan baharu yang dikuatkuasakan.

Tambahnya, tertuduh juga telah dibuang kerja ekoran kejadian tersebut.

Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Nora Yaacob bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan kerana tindakan tertuduh melibatkan isu keselamatan negara dan sepatutnya jelas dengan arahan Kementerian Kesihatan, selain sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Muhammad Nazrin dalam penghakimannya berkata, tertuduh tidak mempunyai alasan kukuh untuk melanggar perintah yang dikeluarkan mengenai SOP dan undang-undang itu dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Beliau kemudian menjatuhkan hukuman penjara 14 hari bermula tarikh tangkapan iaitu pada 13 Oktober serta denda sebanyak RM1,000 atau penjara tujuh hari jika gagal bayar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN