Jerat tanpa pukau: Sindiket Macau Scam guna sistem VOIP -

Jerat tanpa pukau: Sindiket Macau Scam guna sistem VOIP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada pukau dalam teknik menjerat mangsa Macau Scam. Hanya menggunakan sistem suara melalui protokol internet (VOIP), sindiket Macau Scam dapat memperdaya ribuan mangsa termasuk golongan profesional bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara.

Sebelum ini, ramai beranggapan golongan profesional terma­suk pensyarah, doktor, peguam, malah unit beruniform sendiri tertipu dengan Macau Scam akibat daripada unsur pukau, sebaliknya, ia hanya dipengaruhi de­ngan satu sistem suara sahaja.

Menurut sumber, sistem VOIP ini diwujudkan sindiket untuk membuat panggilan menerusi internet tanpa menggunakan telefon malah boleh menggunakan nombor sesiapa sahaja serta mengubah suara.

Kata sumber, VOIP memerlukan jaringan internet yang tinggi kerana proses itu berlaku sangat cepat dan pantas.

“Sistem ini mempunyai beberapa proses sebelum sindiket menghubungi mangsa. Tanpa menggunakan telefon, sindiket mampu meyakinkan mangsa sehingga mereka terpedaya. Jadi tidak hairanlah kalau golongan profesional turut tertipu.

“Penggunaan sistem bertek­nologi tinggi ini juga menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan sindiket. Jadi tidak wujud teknik pukau atau berunsur mistik dalam kegiatan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, menurut sumber, sindiket yang berangkaian ini terdiri daripada empat lapisan iaitu perancang utama, pemanggil, pengumpul akaun serta pengumpul wang.

Jelas sumber, perancang utama berperanan untuk me­latih ahli sindiket dari pelbagai negara untuk menjalankan penipuan malah individu ini yang akan menyimpan wang hasil daripada Macau Scam.

Ujarnya, pemanggil merupakan individu yang akan menghubungi mangsa dengan pelbagai modus operandi digunakan mereka dan kumpulan ini akan ditempatkan di sebuah tempat atau call centre seperti di banglo, premis kedai serta kondominium untuk melakukan penipuan.

“Pengumpul akaun pula bertanggungjawab mengiklankan untuk mencari ‘kambing hitam’ yang diarahkan untuk membuka akaun menyimpan sementara wang mangsa manakala pengumpul wang akan membuat transaksi lain serta meletakkan wang mangsa ke pelbagai akaun bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN