Jangan gopoh tunda peperiksaan - Utusan Malaysia

Jangan gopoh tunda peperiksaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ada beberapa pendekatan lain yang boleh dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan selain daripada me­nunda peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) rentetan wabak Co­vid-19 yang masih berleluasa.

Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim berkata, antara pendekatan itu ialah membatalkan terus peperiksaan atau mengubah suai bentuk peperiksaan kepada sistem pentaksiran berterusan secara dalam talian seperti dijalankan negara-negara maju di Eropah, Amerika Utara dan Jepun.

“Pendekatan yang diambil oleh negara kita selaras dengan Thailand dan Filipina yang menangguhkan peperiksaan. Tetapi berbeza dengan Indonesia, yang membatalkan peperiksaan nasional akhir tahun untuk sekolah menengah.

“Namun, saya mencadang­kan agar peperiksaan awam di negara ini ditunda sekali lagi susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Majlis Permuafakatan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan yang mencadangkan tarikh ketiga-tiga peperiksaan awam terbesar ditunda jika trend peningkatan kes Covid-19 terus berlaku.

April lalu, Kementerian Pendidikan memutuskan menun­da tarikh peperiksaan buat kali pertama bagi pelajar SPM yang sepatutnya berjalan bulan depan hingga Disember.

Rosna berkata, jika kerajaan memutuskan untuk menjadualkan semula peperiksaan ke satu masa yang belum pasti, adalah tidak adil jika penundaan itu hanya tertumpu di kawasan zon merah manakala zon hijau pula tetap meneruskan peperiksaan seperti dijadualkan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, kerajaan perlu memikirkan situasi menang-menang kepada guru dan semua pelajar kerana tidak semua kawasan terjejas akibat pandemik berkenaan.

“Saya berharap agar segala keputusan tersebut tidak dibuat dengan terburu-buru tetapi perlu mengutamakan aspek keselamatan pelajar dan masa depan mereka selepas ini. Ini kerana, situasi pelajar tidak sama zon mereka. Jadi perlu ada pertimbangan yang adil dan saksama,” katanya.

Beliau berkata, daripada kerajaan membuat keputusan menunda peperiksaan itu, beberapa pilihan boleh dipertimbangkan kerajaan agar prestasi akademik pelajar bukan hanya dinilai bersandarkan sistem peperiksaan sebaliknya cara lain yang dirasakan sesuai mengikut keadaan.

“Penyelesaian terbaik ialah kerajaan perlu sediakan pelan kontigensi jika berlaku penundaan dengan memikirkan kaedah pentaksiran atau peni­laian yang berbeza dengan sedia ada seperti peperiksaan secara maya sebagaimana pihak universiti laksanakan, juga penugasan kerja dan kuiz secara virtual.

“Selain itu, penilaian berte­rusan pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima boleh diukur melalui ujian secara berformat dan penugasan guru. Mungkin juga mata pelajaran tertentu perlu peperiksaan secara dalam talian,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN