Gabungan teknologi, integriti selesaikan masalah pencemaran sungai - Utusan Malaysia

Gabungan teknologi, integriti selesaikan masalah pencemaran sungai

SAHOL HAMID ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pencemaran sumber air di negeri ini sehingga menyebabkan bekalannya terganggu tidak mudah dikesan dan dipantau menggunakan dron semata-mata.

Apa yang sepatutnya dilakukan pihak berkuasa adalah mempertingkat kualiti pemantauan dengan turut menggunakan teknologi secara pengesanan jarak jauh atau remote sensing dan memproses imej satelit untuk mengesan pencemaran.

Pakar hidrografi dan kawalan banjir dari University Of Stuggart Germany, Prof. Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar (gambar) berkata, teknologi tersebut mampu memantau pencemaran sungai atau sumber air dengan lebih sistematik berdasarkan data berkala yang dikumpul dari semasa ke semasa.

“Teknologi gambar-gambar satelit adalah pemantauan terbaik kerana cara demikian dapat mengesan keadaan permukaan air sama ada terdapat bahan asing seperti pelarut, minyak hitam atau bahan kimia. Pemantauan imej satelit secara harian dapat membantu pihak berkuasa membuat pengesanan jika berlaku pencemaran.

“Perubahan air melibatkan warna dan bahan berkumpul di permukaan air dapat dikesan satelit yang membuat pengawasan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah yang diambil Kerajaan Ne­geri Selangor untuk memantau pencemaran sungai dengan menggunakan khidmat dron yang berharga RM2 juta.

Menurut Sahol Hamid, masalah pencemaran air akan terus berlaku disebabkan faktor kemanusiaan itu sendiri walaupun memiliki teknologi canggih untuk memantau pencemaran di kawasan sumber air.

Kata beliau, perlu diingatkan bahawa pencemaran dilakukan manusia dan yang memantau sama ada pencemaran berlaku atau tidak juga adalah manusia.

“Jika menggunakan dron, mampukah petugas memantau di waktu malam setiap masa di kawasan yang disyaki berlaku pembuangan sisa yang tidak mesra alam dan mengandungi bahan yang berbahaya?

“Jika ada teknologi baguslah. Namun jika pihak yang menga­wal dron terdedah dengan masalah integriti, apakah dia akan me­laporkan pencemaran sungai atau sumber air yang tepat?,” soalnya.

Mengulas lanjut isu pencemaran air, beliau berharap semua pihak berkuasa yang terlibat dengan sumber air untuk duduk semeja berbincang.

Ujarnya, jika pihak berkepen­tingan tidak mahu menggunakan teknologi canggih seperti satelit, maka integriti atau faktor kemanusiaan dalam diri penguat kuasa jabatan ma­sing-masing mesti diperkasakan.

“Isunya, pencemaran sungai tidak akan berlaku jika semua pihak berkuasa bekerja memeriksa setiap longkang dan saluran punca bahan pencemaran atau efluen itu dialirkan.

“Justeru, langkah menggunakan dron oleh agensi Kerajaan Negeri Selangor amat sesuai untuk memantau pembuangan sisa pepejal yang mencemar sumber air dari laluan-laluan tersebut,” katanya.

Beliau menambah, penggunaan dron hanya berkesan setelah ‘jenayah’ dilakukan, bukan semasa ia sedang berlaku.

Seterusnya beliau mempersoalkan, jika bahan enap cemar atau efisen dilepaskan pada waktu malam dan laluannya dibersihkan, bolehkah dron beroperasi secara senyap tanpa lampu mampu untuk mengesan perbuatan tersebut?

“Sebaiknya, gunakan satelit untuk menyelesaikan masalah ini. Sebagai negara paling kaya di Malaysia, Kerajaan Negeri Selangor mampu untuk mendapat akses teknologi tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN