KUALA LUMPUR: Dua suspek utama bergelar Datuk Seri serta Datuk palsu dipercayai memonopoli kegiatan penipuan Macau Scam serta judi atas talian di sekitar Lembah Klang.
Sumber mendedahkan, kedua-dua individu yang menjalankan kegiatan itu bergerak aktif di Kuala Lumpur dan Selangor.
“Kini polis sedang siasat judi atas talian di kawasan Cheras, jadi tidak mustahil siasatan di kawasan lain turut dilakukan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Bagaimanapun, tambah sumber, bukan satu sahaja sindiket Macau Scam dan judi atas talian yang aktif negara ini namun terdapat beberapa lagi turut dikesan.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Datuk Seri palsu atau Goh Leong Yeong dipercayai masih bersembunyi dalam negara kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sumber berkata, ia menyebabkan ahli perniagaan berusia 32 tahun itu sukar melepaskan diri.
“Dia juga berdepan masalah kewangan kerana beberapa akaun hasil perjudian atas talian dan penipuan Macau Scam sudah dibekukan,” katanya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mendedahkan gambar serta maklumat diri Leong Yeong yang beralamat terakhir di Blok 25b2-5-8, Miharja Condo, Batu 2 1/2 Off Jaalan Cheras di sini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memberitahu, lelaki itu dikehendaki polis bersabit siasatan tiga kes mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Dalam pada itu, sumber mendedahkan, sebanyak 22 buah kenderaan dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) milik individu yang disiasat termasuk “Datuk Seri” serta “Datuk” masih disita agensi tersebut.
Jelas sumber, hanya kenderaan jenis Ford milik selebriti dipulangkan kembali dengan bon jaminan.
“Itu berdasarkan peruntukan Akta SPRM 2009. Bagaimanapun, kenderaan yang lain masih belum dipulangkan bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Kelmarin, media melaporkan kereta milik pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu antara kenderaan yang disita SPRM.
Shuib yang mengakui perkara itu memberitahu, menjadi kewajipannya untuk memberi kerjasama dalam siasatan namun bersyukur kereta terbabit telah dipulangkan. – UTUSAN










