ARAU: Pelaksanaan proklamasi darurat tidak boleh menyebabkan Parlimen tergantung selaras dengan Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan sidang Dewan Rakyat sepanjang tempoh tersebut.
Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, pengalaman tersebut berlaku ketika proklamasi darurat 1969, malah selepas Parlimen mula bersidang pada Februari 1971, darurat masih berkuat kuasa ketika itu.
Jelasnya, semasa pilihan raya 1974, proklamasi darurat pada masa itu juga masih belum dibatalkan, sekali gus menunjukkan meskipun darurat Parlimen masih boleh berjalan mengikut peruntukan Perlembagaan.
“Apa yang berlaku, apabila diisytiharkan darurat pada 15 Mei 1969, Parlimen sudah dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya umum (PRU) dijalankan. Selepas Parlimen mula bersidang pada 20 Februari 1971, darurat masih berkuat kuasa.
“Proklamasi darurat hanya dibatalkan pada 20 Disember 2011 iaitu lebih kurang 40 tahun selepas itu,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Malaysia berada dalam ketidaktentuan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet yang mencetuskan spekulasi mengenai pengisytiharan darurat.
Tambahnya, Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan proklamasi darurat dan sebarang ordinan yang dibuat di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di kedua-dua dewan Parlimen.
Katanya, bagi membolehkan Parlimen digantung, pembubarannya perlu dibuat lebih awal daripada proklamasi darurat.
“Dalam keadaan darurat, Yang di-Pertuan Agong boleh memperkenankan Kabinet sebelum Parlimen terbubar untuk meneruskan fungsinya secara interim bersifat caretaker di bawah Perkara 43(2).
“Selain itu, Seri Paduka mempunyai prerogatif untuk berunding dengan Majlis Raja-raja atau mendapatkan pandangan Majlis Keselamatan Negara bagi membuat ordinan yang perlu. Yang di-Pertuan Agong mempunyai tanggungjawab memastikan pengurusan pentadbiran negara berjalan baik sehingga PRU diadakan bagi menangani sebarang ancaman,” katanya.
Beliau berkata, rakyat tidak perlu panik jika Parlimen dibubar dan darurat diisytiharkan kerana matlamat pelaksanaan kali ini bukanlah disebabkan peperangan mahupun rusuhan berdarah, sebaliknya untuk mengawal penularan Covid-19 selain membolehkan kerajaan memberi tumpuan memulihkan ekonomi negara.
“Jika kita imbas kembali apabila Parlimen dibubarkan diikuti dengan darurat dari tempoh 15 Mei 1969 hingga 20 Februari 1971, pelbagai ordinan dan polisi-polisi digubal yang memberikan kesejahteraan kepada rakyat.
“Antaranya seperti Ordinan (Kuasa-Kuasa Khas) Darurat No. 2 1969, Ordinan (Ketenteraman Awam dan Pencegah Jenayah) Darurat No. 5, 1969, Peraturan-Peraturan Perlu (Majlis-Majlis Muhibbah) 1969, Dasar Ekonomi Baru 1970, Universiti Kebangsaan Malaysia 1970 dan Rukun Negara tanpa memerlukan prosiding di Parlimen.
“Kita perlu memberi kepercayaan kepada Yang di-Pertuan Agong menimbangkan keputusan terbaik untuk negara dan rakyat,” katanya.










