Undang-undang lebih tegas cemar sumber air - Utusan Malaysia

Undang-undang lebih tegas cemar sumber air

ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengakui terdapat kelompangan dalam undang-undang di bawah Akta Kerajaan Tempatan bagi mengambil tindakan lebih tegas terhadap pengilang yang melakukan pencemaran sumber bekalan air.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, keadaan tersebut menyebabkan pihak pengilang tidak takut melakukan kesalahan itu walaupun boleh memberi kesan terhadap ramai pengguna.

Sehubungan itu, katanya, KPKT akan mengusulkan rang undang-undang di bawah akta tersebut bagi membolehkan tindakan lebih tegas boleh dikenakan ke atas pengilang yang tidak bertanggungjawab.

“KPKT maklum ada kelompongan dalam undang-undang itu dan kita memang dalam persediaan rang undang-undang untuk penguatkuasaan lebih tegas dikenakan kepada pengilang seperti ini (menjadi punca pencemaran air),” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menangani isu pencemaran sumber bekalan air di Lembah Klang sehingga mengakibatkan kira-kira lima juta penduduk terputus bekalan air.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kerajaan akan menyegerakan pindaan undang-undang sedia ada supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah yang melakukan pencemaran terhadap sumber air.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, pindaan yang dibuat membabitkan Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Akta Kualiti Alam Sekeliling.

Zuraida memberitahu, gangguan bekalan air di Lembah Klang itu turut melibatkan penduduk di kira-kira 5,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang I dan Lembah Subang II yang diseliakan oleh KPKT.

“Saya berharap Kerajaan Negeri Selangor ambil serius kerana masalah ini kerap berulang dan boleh dikatakan berlaku hampir setiap tahun bagaikan satu ‘fiesta’ tiada air,” katanya.

Tambahnya, penyelesaian secara lebih menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan isu pencemaran sumber bekalan air tidak lagi berlaku selepas ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya