Tiga lelaki terlepas hukuman gantung - Utusan Malaysia

Tiga lelaki terlepas hukuman gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga lelaki terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh dan bersubahat dalam satu kejadian di stesen minyak Taman Pelangi pada tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Shahnaz Sulaiman melepas dan membebaskan Gan Jia Ji, 22; Yip Kah Hou, 26 dan Woon Kian Hui, 25, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Terdahulu, Shahnaz dalam keputusannya berkata, terdapat beberapa alasan yang menyebabkan kesemua tertuduh dibebaskan antaranya bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak jelas dan kabur untuk mengaitkan dalam kes pembunuhan itu.

“Mahkamah juga mendapati pihak pendakwaan juga gagal membuktikan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap darah yang ditemui di lokasi kejadian selain tiada siasatan dilakukan terhadap bukti alibi.

“Pendakwaan gagal mengaitkan kereta jenis BMW yang digunakan untuk melakukan jenayah tersebut dengan kesemua tertuduh,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Jia Ji selaku tertuduh pertama didakwa dengan niat bersama lima yang masih bebas melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian Tan Aik Chai, 44.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kawasan stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi di sini pada pukul 7.30 malam, 17 Disember 2017.

Kah Hou dan Kian Hui didakwa bersama dua lagi yang masih bebas dengan niat melakukan persubahatan jenayah untuk membunuh mangsa di lokasi dan waktu sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suriani Ujang manakala Jia Ji diwakili peguam bela, Datin S. Freda, Kah Hou pula diwakili peguam bela Chuah Shyue Chian dan Kian Hui diwakili Ram Karpal Singh.

Pada 17 Disember 2017, akhbar melaporkan seorang lelaki maut ditikam dan digilis dengan sebuah kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi di sini.

Sebelum itu, mangsa, Aik Chai bersama isterinya seorang warga asing berusia 20-an menaiki sebuah kereta Volkswagen Polo berhenti di stesen minyak itu untuk mengisi angin tayar kereta.

Mangsa dihampiri sebuah kereta BWM dinaiki sekumpulan lelaki sebelum dia ditarik dan ditikam serta dilanggar kemudian digilis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya