SPRM siasat ‘surat karam’ isu tanah di Perak - Utusan Malaysia

SPRM siasat ‘surat karam’ isu tanah di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan satu siasatan akan dijalankan berhubung isu skandal tanah di Perak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusyairi Yahya berkata, ia susulan penyebaran surat bertajuk ‘surat karam’ di media sosial baru-baru ini.

“Kita telah menerima aduan daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di Ipoh berkaitan skandal tersebut.

“Diminta semua pihak untuk tidak mengulas lanjut serta memberikan ruang bagi siasatan dijalankan secara telus dan profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Satu laporan kepada pihak SPRM dibuat Putra hari ini berhubung pemberian tanah seluas 1,200 hektar di negeri Perak untuk pembangunan ladang hutan yang didakwa mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa.

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, laporan itu dibuat susulan tular surat bertajuk ‘surat karam’ dalam media sosial memaparkan beberapa projek penerokaan hutan melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri.

Dakwanya, terdapat tiga kelulusan melibatkan 1,200 hektar tetapi difahamkan banyak lagi kelulusan yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk pembangunan ladang hutan kepada individu-individu berkepentingan.

Dakwanya lagi, skandal itu turut melibatkan pemberian tanah seluas 301.9 hektar secara rundingan terus kepada sebuah syarikat untuk menjalankan projek ladang rakyat di Ulu Piah, Tambun pada April 2019.

Tambah Hamidah, pemberian itu menimbulkan pelbagai persoalan memandangkan syarikat yang ditubuhkan sekitar Ogos 2018 itu langsung tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan projek berkenaan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya