PETALING JAYA: Ketegangan di Asia Tenggara akan meningkat sekiranya kuasa besar menggunakan undang-undang antarabangsa secara terpilih dan tidak menghormati perjanjian yang dimeterai.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keadaan itu turut menjejaskan kepercayaan negara-negara kecil dan sederhana terhadap sistem antarabangsa, termasuk dalam isu keselamatan serta pertahanan.
Beliau berkata, perkara itu merupakan antara pandangan Malaysia yang disampaikan dalam sesi plenari kelima Dialog Shangri-La 2026 bertajuk Managing Regional Tensions Amid Global Competition di Singapura, hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Norway memohon maaf kepada Malaysia berhubung pembatalan lesen eksport sistem NSM, namun tetap mempertahankan keputusan tersebut.
Kementerian Luar Norway sebelum ini dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.
NSM yang dibangunkan syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) merupakan peluru berpandu antikapal berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan capaian melebihi 300 kilometer, adalah sebahagian daripada kontrak perolehan yang dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) pada April 2018, bernilai 124 juta euro ($184.91 juta), bertujuan melengkapi enam kapal LCS baharu.
Menurut Mohamed Khaled, ketegangan serantau yang semakin meningkat hari ini berpunca antaranya daripada hakisan kepercayaan terhadap aturan antarabangsa berasaskan peraturan atau rules-based international order.
Katanya, keadaan itu turut diburukkan dengan pelaksanaan undang-undang antarabangsa secara terpilih serta amalan dwistandard yang semakin menjejaskan keyakinan terhadap sistem antarabangsa.
“Saya turut membangkitkan keputusan Norway membatalkan eksport Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia kerana ia menimbulkan persoalan besar mengenai integriti kontrak, kebolehpercayaan rakan strategik dan kredibiliti sistem antarabangsa.
“Pada masa sama, persaingan kuasa besar semakin mengehadkan peranan institusi pelbagai hala termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mempertahankan prinsip, peraturan dan akauntabiliti antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, perkembangan itu memberi kesan langsung kepada rantau ini apabila persaingan kuasa besar dalam aspek geopolitik, ekonomi dan teknologi yang semakin sengit mewujudkan tekanan terhadap negara-negara Asia Tenggara.
Katanya, tekanan itu termasuk usaha mempengaruhi pendirian serta kedudukan strategik negara-negara di rantau ini.
“ASEAN Centrality mesti terus dipertahankan kerana ASEAN dibina atas dialog, konsensus, saling menghormati dan tanggungjawab bersama.
“ASEAN tidak dibina atas paksaan, dominasi mahupun transactional politics,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, negara-negara di rantau ini bukan sekadar perlu mengurus ketegangan, tetapi juga mengenal pasti dan menangani punca sebenar yang mencetuskannya.
Katanya, selagi kepercayaan terhadap sistem antarabangsa terus terhakis, ketegangan serantau akan terus meningkat sekali gus memberi cabaran kepada keamanan dan kestabilan.
“Justeru, komitmen mesti dihormati, perjanjian mesti ditepati dan undang-undang antarabangsa mesti terpakai sama rata kepada semua negara,” katanya. – UTUSAN










