GEORGE TOWN : Lelaki warga Myanmar yang maut dalam kebakaran di Bangunan Odeon, Jalan Penang di sini malam tadi merupakan pekerja yang terlibat dalam kerja-kerja pengubahsuaian premis berkenaan.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake.
Menurut beliau, ketika kejadian, premis berkenaan sedang dalam proses ubah suai untuk dijadikan sebuah restoran.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa dan punca kebakaran tersebut.
“Ketika ini, kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu Laporan Mati Mengejut (LMM) juga telah dibuka bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa, Mohamad Boshi Sabi Ullah, 56, dijumpai tidak sedarkan diri berhampiran pintu masuk hadapan premis yang terbakar kira-kira pukul 10.23 malam sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.










