Kutip ilmu belakang tabir, ia berguna buat pelakon - Adam Nafian - Utusan Malaysia

Kutip ilmu belakang tabir, ia berguna buat pelakon – Adam Nafian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pela­kon ba­ha­ru, Adam Nafian mungkin masih hijau dalam industri hiburan tempatan, namun kesungguhannya mencari ilmu dan pengalaman nyata wajar diberi perhatian.
Tidak hanya selesa berdiri di depan kamera, Adam juga sanggup turun padang melakukan kerja belakang tabir sebagai kru produksi demi memahami keseluruhan proses pembikinan sesebuah naskhah.

Bagi Adam, tiada istilah malu meskipun pernah muncul sebagai pelakon kerana baginya setiap pengalaman di set penggambaran adalah ilmu yang sangat berharga.

Memulakan langkah dalam industri menerusi iklan televisyen ketika berusia 15 tahun, Adam berkata, penglibatannya bermula selepas dipilih membintangi iklan jenama penjagaan diri terkenal kerana aktif dalam sukan bola sepak.

“Saya mula dengan TVC ketika umur 15 tahun bersama Nivea sebab waktu itu saya aktif bermain bola sepak. Daripada situ saya dipilih untuk buat iklan. Saya berhenti sekejap selepas habis belajar dan sambung balik pada tahun 2021.

“Tahun 2021 itu saya mula berlakon telefilem Astro berjudul Nasi Lemak Kimchi arahan Zyrul Hafizie. Dalam masa sama juga saya buat kerja pelakon tambahan dan bekerja sebagai kru produksi,” katanya.

Tidak sekadar mencuba nasib di depan kamera, Adam juga pernah memegang pelbagai tugasan produksi termasuk menjadi jurugegas, pembantu, prop dan terbaru sebagai pengurus produksi (PM).

Kata Adam, semua itu dilakukan bukan kerana terpaksa, sebaliknya lahir daripada keinginannya untuk belajar dari bawah.

“Saya memang hendak belajar. Bila kita ada impian nak jadi pelakon, saya rasa bagus kalau kita bermula dengan kru dulu sebab dari situ kita nampak keseluruhan perjalanan sebuah produksi.

“Apabila kita buat semua benda itu, kita faham bagaimana sesebuah naskhah dihasilkan dari awal sampai akhir. Itu ilmu yang sangat berguna untuk saya sebagai pelakon.

“Saya tidak pernah rasa kerja kru itu tidak penting. Bagi saya, buat apa malu? Kita datang untuk belajar. Bila kita duduk sekali dengan kru dan pelakon lain di set, kita dapat tengok cara mereka bekerja.

“Kadang-kadang waktu rehat, saya ambil peluang bertanya kepada pelakon-pelakon senior tentang tip berlakon, cara bawa watak dan macam-macam lagi. Jadi, saya anggap semua itu proses pembelajaran untuk berkembang dalam industri,” katanya.

Mengulas mengenai sikap segelintir pelakon yang enggan melakukan kerja produksi selepas mula dikenali, Adam mengakui dia lebih selesa merendah diri dan bergerak perlahan-lahan membina nama.

“Saya memang tidak fikir soal ego. Saya tidak kisah buat kerja belakang tabir walaupun sudah pernah berlakon depan kamera. Saya rasa semua itu membantu saya lebih faham kerja orang lain dalam produksi.

“Apabila kita sendiri pernah jadi kru, kita akan lebih menghargai penat lelah mereka. Kita tahu bagaimana susahnya hendak siapkan satu produksi. Jadi, secara tidak langsung apabila kita jadi pelakon nanti, kita lebih faham situasi set dan lebih mudah bekerjasama,” katanya.

Dalam pada itu, Adam mengakui dia mempunyai sasaran besar dalam industri lakonan dan tidak mahu sekadar berada di takuk lama.

“Saya masuk industri ini bukan semata-mata mahu cari duit. Saya ada impian dan sasaran. Saya hendak pergi lebih jauh sampai ke filem. Saya jenis orang yang tidak suka duduk terlalu lama dalam zon selesa. Saya suka cabar diri dan sentiasa mahu naik satu tahap lagi. Saya mahu terus berkembang dan cari pengalaman baharu,” katanya penuh semangat.

Selain itu,mengenai persaingan sengit dalam industri seni dengan kemunculan ramai wajah baharu, Adam bagaimanapun melihat perkara itu dari sudut positif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN