Islam memandang mulia seorang murabb atau insan bergelar guru

Islam memandang mulia seorang murabb

USTAZ AHMAD FAHMI DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini kita menyambut Hari Guru. Maka kelihatan di mana-mana, anak-anak girang membawa hadiah untuk diberikan kepada guru. Sememangnya selain ibu bapa, guru adalah orang yang rapat dengan anak-anak ini.

Manusia mempunyai pelbagai kebolehan, kemahiran dan pengetahuan apabila belajar menerusi asuhan atau didikan daripada seorang insan bergelar guru.

Masyarakat sudah tentu memandang keguruan sebagai bidang profesional kerana tugas mendidik merupakan pekerjaan yang mulia. Walaupun seseorang guru itu sudah menjalani alam persaraan, tetapi dia tetap disapa ‘cikgu’ ketika hayatnya atau selepas meninggal dunia.

Realitinya, tugas guru bukan mudah dan sejak sekian lama berdepan pelbagai kerenah. Bermula daripada bilik darjah, pengurusan sekolah malah masyarakat sendiri khususnya pada zaman milenium dan digital ini sentiasa menduga tanggungjawab serta pemikiran guru.

Menurut Imam Rawatib Masjid Al-Sultan Abdullah bandar Jerantut, Ustaz Ahmad Fahmi Daud, sabar antara senjata utama guru dalam berdepan cabaran dan diiringi kesungguhan serta doa untuk membentuk kemenjadian seorang pelajar supaya berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Katanya, Allah SWT mengiktiraf kemuliaan tugas guru menerusi firmannya dalam surah al-Mujadalah ayat 11, bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (dalam kalangan kamu) beberapa darjat.

 

USTAZ AHMAD FAHMI DAUD

Umur: 50 tahun
Tarikh lahir : 7 Julai 1976
Pekerjaan Sekarang:
 Guru di Maahad Darul Tahfiz Jerantut (2013 – 2023)
 Guru di SK Felda Jengka 24 (2023 – 2024)
 Guru di SK Pulau Mansok Jerantut (2025)
Khidmat Masyarakat/Agama:
 Imam Rawatib Masjid Al-Sultan Abdullah Bandar Jerantut – (2020 – kini).
 Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Saujana Putra (2020 – kini).
 Ahli Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Sri Inderapura (2024 – kini)
 Ahli Jawatankuasa Skuad Asnaf Prihatin MTMAJ (2024 – kini).

“Apa pun konotasi gelaran seperti cikgu, ustaz, maulana, tok guru, syeikh dan juga kadang-kadang disifatkan sebagai mursyid, murabbi, muaddib, muallim dan lain-lain realitinya tugas pendidik disanjung serta diperakui kerana merekalah manusia yang membentuk manusia mendidik atau mengasuh dengan nilai jati diri dan akhlak di samping membawa kepada ma’rifatullah (mengenal Allah),” katanya kepada Mingguan Malaysia di Jerantut, Pahang.

Menurut Ahmad Fahmi, guru menjadi penunjuk jalan kebaikan seperti yang dijelaskan dalam satu hadis diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda dengan maksud: “Barang siapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal dengannya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun.”

Beliau menambah sewajarnya kita meletakkan taraf guru sebagai insan mulia sesuai dengan sumbangan yang dicurahkan mereka dalam mendidik kita semua.

Selanjutnya, Ahmad Fahmi menjelaskan konotasi ‘Guru untuk rakyat umum’ atau singkatan ‘Guru’ yang pernah diungkapkan oleh seorang tokoh pendidikan tersohor, iaitu (Allahyarham) Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Awang Had

Salleh meletakkan guru merupakan kerjaya yang mulia menjadi pemangkin kegemilangan ilmu dan kemajuan ummah serta pembentukan insan yang seimbang rohani dan jasmani.

“Guru bukan sekadar menjadi mudarris (pengajar), tetapi hendaklah berperanan sebagai muallim (penyampai ilmu yang benar), sebagai murabbi (pengasuh dan mendidik dengan kasih sayang), sebagai muaddib (pembentuk adab dan akhlak pelajar), sebagai muzakki (penyuci akhlak dan akidah).

“Selain itu juga, guru sebagai muthabbit (pembina keyakinan dan kekuatan dalaman pelajar), sebagai qudwatun hasanah (memberi contoh yang baik terhadap anak didik) dan sebagai mursyid (pembimbing ke arah kebenaran),” katanya.

Beliau berkata, kita harus bersyukur di atas pengorbanan dan kesungguhan guru yang mendidik sejak usia kanak-kanak mengenal aksara, mengira, menulis dan membaca pada peringkat awal sehingga kita memahami pengetahuan sekali gus ‘belajar dan terus belajar’ mengenal kehidupan.

“Saya tertarik dengan puisi ‘Guru Oh Guru’ Sasterawan Negara, Usman Awang secara ringkas menukilkan ayat puitis bermula dari jawatan Perdana Menteri, Raja yang bertakhta, Presiden, ulama, peguam, penulis dan kedewasaan kita bermula dengan didikan seorang guru yang sabar dan penuh kasih sayang mengajarkan menulis dan membaca,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN