‘Sapu bersih’ ketum di Felda - Utusan Malaysia

‘Sapu bersih’ ketum di Felda

TANAMAN tetum di kawasan rumah menjadi perkara biasa di Perlis dan Kedah, namun yang menjadi masalah apabila daun berkenaan disalahgunakan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang. - UTUSAN/ MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kira-kira 1,500 pokok ketum di tiga kawasan Felda negeri ini akan ditebang bagi memastikan penempatan peneroka di situ tidak ‘dicemari’ kontroversi tanaman ber­kenaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, tindakan tersebut dibuat mengikut Akta Tanah Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 dengan kerja­sama pengurusan Felda serta Pejabat Tanah dan Galian melibatkan Felda Rimba Mas, Felda Mata Air dan Felda Chuping.

Katanya, ia akan dilaksanakan seawal minggu depan.

DATUK SURINA SAAD

“Perbincangan dengan Felda telah memutuskan untuk mulakan pembersihan pokok ketum ini di Felda Rimba Mas seterus­nya Felda Chuping dan Mata Ayer. Antara 1,000 sehingga 1,500 pokok ketum akan ditebang membabitkan tiga Felda itu.

“Pembersihan itu juga akan dilakukan di belakang rumah penduduk (Felda) yang mempunyai pokok ketum. Kita akan pastikan kawasan Felda ini tidak ada lagi ketum.

“Kita tidak mahu pokok ketum menjadi landskap baharu Felda selain Felda tercemar de­ngan tanaman ketum,” katanya ketika ditemui selepas program Ketua Polis Perlis bersama komuniti Felda Mata Ayer dan Rimba Mas di Felda Mata Ayer di sini semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan rampasan antara 200 hingga 300 kilogram daum ketum sehari menjadi perkara biasa di Perlis dan masalah tersebut tidak akan dapat dibasmi selagi pengharaman penanaman pokok tersebut tidak dilaksanakan.

Selain lorong-lorong tikus di Padang Besar, aktiviti penyeludupan daun ketum juga telah diperluas melalui jalan laut di Kuala Perlis berikutan ketum mendapat permintaan tinggi di negara jiran.

Tambah Surina, pihaknya juga akan melakukan pemantauan daripada masa ke semasa selepas penebangan tersebut bagi memastikan tidak ada penanaman baharu di kawasan Felda.

“Kita pilih Felda bagi me­lakukan pembersihan ini kerana terdapat akta atau perunda­ngan yang memboleh­kan kita mengambil tindakan tersebut. Kita tidak mahu masalah pe­nyalahgunaan dan penyeludupan ketum ini terus berle­luasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN