PETALING JAYA: Aktres, Che Puan Sarimah Ibrahim tampil memberi teguran kepada sesetengah pelakon yang membintangi drama melibatkan badan beruniform agar menjaga imej peribadi dan akhlak diri.
Menerusi perkongsian di Instagram, Sarimah seakan terpanggil untuk mengulas isu perkara itu selepas berkongsi momen penglibatannya menerusi karya kepolisian ikonik Gerak Khas The Movie 3.
“Hari ini, seorang rakan pelakon mengingatkan saya tentang kenangan ketika kami menjalani penggambaran Gerak Khas The Movie 3, saya membawakan watak Inspektor Farah. Hendak keluar rumah selepas tamat penggambaran pun sudah tidak berdaya kerana terlalu penat.
“Kami menjalani penggambaran siang dan malam sambil memakai pakaian SWAT yang tebal. Memang pengalaman itu sangat menyeronokkan, tetapi pada masa yang sama amat memenatkan,” katanya.
Menurut Sarimah, disebabkan perlu menjayakan pelbagai babak yang menggunakan banyak tenaga secara fizikal membuatkan dirinya tidak pernah terfikir untuk mencetuskan sebarang onar, selain menjaga kualiti waktu rehat.
“Kami perlu berlari dan berbalas tembakan di dalam hutan, kemudian menyamar sebagai ejen penyamaran (undercover). Ada juga babak yang dihimpit l pelakon Afrika kami yang berbadan sasa.
“Tiada makna mahu buat hal selain tidur, membaca skrip, pergi ke lokasi penggambaran, kemudian pulang untuk tidur sebelum mengulang rutin yang sama,” tulisnya.
Sarimah turut menegaskan setiap pelakon yang berpeluang menjayakan watak badan beruniform seharusnya lebih peka dalam menjaga personaliti serta imej peribadi agar tidak meninggalkan persepsi buruk terhadap agensi yang diwakili.
“Jadi anggota polis, bomba atau petugas perubatan ketika berlakon, memang kita perlu jaga personaliti diri juga sebab kita mewakili seluruh pasukan beruniform yang dihormati. Lebih baik jangan melakukannya jika tidak mampu memberikan komitmen,” ujarnya.
Sarimah berkata demikian selepas industri hiburan digemparkan dengan berita seorang pelakon wanita yang membintangi drama Gerak Khas 2.0 ditahan polis kerana disyaki positif dadah jenis methamphetamine di sebuah pusat hiburan sekitar ibu negara, kelmarin.










