Maqis jangka jumlah kutipan caj permit, penguatkuasaan meningkat - Utusan Malaysia

Maqis jangka jumlah kutipan caj permit, penguatkuasaan meningkat

Zarina Ramli (kanan) menunjukkan pusat kuarantin Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kepada Saiful Yazan Alwi (kiri) selepas menghadiri Majlis Penghargaan Warga Media dan Anggota Maqis Pulau Pinang di Bayan Lepas, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menjangkakan jumlah kutipan pelbagai caj pemeriksaan dan permit penguatkuasaan meningkat dua peratus tahun ini walaupun negara berdepan pandemik Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Saiful Yazan Alwi berkata, Maqis menyasarkan kutipan tahun ini sekitar RM82 juta dan sehingga bulan lalu, sebanyak RM44 juta caj antaranya caj import bahan makanan, caj eksport pertanian, kompaun dan sebagainya telah berjaya dikutip.

“Pada mulanya kita jangka jumlah kutipan akan menurun disebabkan Covid-19, namun sebaliknya berlaku apabila caj import bahan makanan meningkat.

“Setakat ini, prestasi caj kutipan telah mencapai 58.1 peratus daripada sasaran kita pada tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penghargaan Warga Media dan Anggota Jabatan Maqis negeri di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli.

Seramai 46 anggota Maqis negeri ini menerima sijil penghargaan di atas kecemerlangan mereka ketika menjalankan tugas.

Turut menerima penghargaan ialah warga media daripada pelbagai agensi di negeri ini di atas kerjasama melaporkan kes, kejayaan dan penguatkuasaan Maqis.

Menurut Saiful Yazan, pada tahun lalu, Maqis telah berjaya mengutip kira-kira RM80 juta terdiri daripada pelbagai caj pemeriksaan dan permit penguatkuasaan di seluruh negara.

Dalam pada itu, tambah beliau, pihaknya berharap jumlah anggota MAQIS di 57 pintu sempadan negara dapat ditambah menjelang tahun ini.

“Kita telah mengemukakan permohonan untuk menambah anggota kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Kita faham dengan kekangan yang dihadapi oleh kerajaan namun Maqis berharap kerajaan dapat mempertimbang permohonan kami agar kawalan di pintu masuk dapat dipertingkatkan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya